
PETALING JAYA: Pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang diperluas kepada parti pembangkang mampu membuka ruang kepada kesemua 218 ahli Parlimen untuk memainkan peranan dalam memperkukuh amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau menyambut baik pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong pelaksanaan CSA serta mencadangkan kerjasama itu diperluas kepada parti-parti pembangkang.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana kerjasama seumpama itu pernah dilaksanakan ketika UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada penggal lalu.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
“Kerjasama rentas parti yang lebih menyeluruh amat penting dalam membina konsensus Parlimen bagi menjayakan reformasi institusi khususnya pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, penglibatan Ahli Parlimen dalam proses perbahasan dan pengundian penting bagi memastikan suara rakyat turut diambil kira dalam menentukan hala tuju serta masa depan institusi negara.
“Reformasi yang melibatkan kepentingan negara dan pindaan Perlembagaan Persekutuan wajar mendapat penelitian serta sokongan merentas parti,” katanya.
Tambahnya, Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memelihara kestabilan politik, memperkukuh institusi demokrasi serta memastikan negara ditadbir dengan berkesan demi kepentingan rakyat. – UTUSAN
The post CSA buka ruang 218 ahli Parlimen perkukuh demokrasi appeared first on Utusan Malaysia.






