CTV Scale dan MeVe Tech masuk pasaran Malaysia mudahkan pengiklanan di televisyen pintar

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 4:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTV Scale dan MeVe Tech masuk pasaran Malaysia mudahkan pengiklanan di televisyen pintar Image from: CTV Scale dan MeVe Tech masuk pasaran Malaysia mudahkan pengiklanan di televisyen pintar liza05/08/2026 - 16:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Penggunaan televisyen pintar dan perkhidmatan penstriman yang semakin meluas di Malaysia membuka peluang baharu kepada jenama untuk memasarkan produk mereka, sekali gus menjadikan TV pintar sebagai saluran pengiklanan yang semakin penting.

 

Perkembangan itu mendorong CTV Scale, sebuah platform pengiklanan melancarkan operasinya secara rasmi di Malaysia bagi menawarkan penyelesaian yang memudahkan syarikat mengurus dan melaksanakan kempen iklan di pelbagai platform penstriman.

 

Bagi memperkukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan, CTV Scale menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi dan pengiklanan digital Asia Tenggara, MeVe Tech yang akan bertindak sebagai rakan eksklusif di Malaysia.

 

Menurut syarikat itu, platform berkenaan direka bagi membantu pengiklan membeli ruang iklan TV yang disambungkan dengan internet melalui satu sistem bersepadu, sekali gus mengurangkan kerumitan mengurus kempen di pelbagai aplikasi penstriman.

 

Cabaran semakin kompleks

CTV Scale berkata, walaupun penggunaan TV pintar berkembang pesat, industri pengiklanan masih berdepan beberapa cabaran termasuk ruang iklan yang berpecah kepada pelbagai platform penstriman, saluran televisyen percuma berasaskan internet (FAST), pengeluar televisyen pintar serta peranti penstriman.

 

“Selain itu, pengiklan turut berdepan kesukaran mengenal pasti profil penonton kerana sesebuah televisyen lazimnya dikongsi oleh beberapa ahli keluarga dan menyukarkan penyampaian iklan kepada sasaran yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu turut menyatakan industri berdepan cabaran mengukur keberkesanan kempen merentas pelbagai peranti selain risiko penipuan iklan digital yang boleh menyebabkan perbelanjaan pemasaran tidak memberi pulangan seperti diharapkan.

 

Presiden CTV Scale, Arun Raghav berkata, tv pintar kini semakin menjadi pilihan utama jenama yang mahu mendekati pengguna melalui kandungan premium di skrin televisyen.

 

Tumpuan kepada ketelusan dan keberkesanan

Beliau berkata, Malaysia mempunyai industri pengiklanan yang matang dan memerlukan platform khusus yang menawarkan tahap ketelusan serta kepercayaan yang tinggi kepada pengiklan.

 

"Melalui kerjasama dengan MeVe Tech, kami menggabungkan teknologi khusus TV pintar dengan kepakaran pasaran serantau bagi menyediakan penyelesaian pengiklanan yang lebih berkesan, selamat daripada penipuan serta mampu berkembang mengikut keperluan jenama," katanya.

 

Sementara itu, Pengasas MeVe Tech, Vishal Khanchandani berkata, kerjasama itu menggabungkan pendekatan perancangan pengiklanan televisyen tradisional dengan keupayaan teknologi digital moden dari segi pelaksanaan dan pengukuran prestasi.

 

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan jenama mencapai penonton di skrin terbesar di rumah dengan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi, di samping meningkatkan kawalan terhadap perbelanjaan pengiklanan serta mengurangkan risiko penipuan iklan.

 

Melalui platform itu, pengiklan di Malaysia juga berpeluang melaksanakan kempen merentasi pelbagai rangkaian penstriman, menggunakan format iklan yang lebih sesuai untuk tontonan televisyen serta menilai prestasi kempen dengan lebih telus bagi memastikan setiap perbelanjaan pemasaran memberikan hasil yang boleh diukur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved