Cuaca panas lonjak penggunaan elektrik, kerajaan cari jalan ringankan bil

LocalBusiness & Finance
16 Sep 2026 • 3:33 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Cuaca panas lonjak penggunaan elektrik, kerajaan cari jalan ringankan bil

KUALA LUMPUR – Cuaca panas dan keadaan jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini dikenal pasti antara faktor mendorong sebahagian isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik sehingga melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan pengguna terbabit mula tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), sekali gus memberi kesan kepada jumlah bil elektrik bulanan mereka.

Susulan keresahan yang disuarakan rakyat, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil terhadap isi rumah terjejas.

Mesyuarat berkenaan akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan.

“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan pada masa sama akan terus mempertahankan pendekatan subsidi bersasar bagi memastikan majoriti rakyat terus mendapat perlindungan.

Katanya, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

Bagaimanapun, penggunaan elektrik sesetengah isi rumah meningkat akibat cuaca lebih panas dan jerebu sehingga melepasi paras berkenaan.

“Namun, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

“Ia menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj, sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA),” katanya.

Anwar menegaskan kerajaan akan memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara adil dan munasabah dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

The post Cuaca panas lonjak penggunaan elektrik, kerajaan cari jalan ringankan bil appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved