Cuaca Panas: Murid Dibenar Pakai Pakaian Sukan - KPM

29 Mar 2026 • 10:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Cuaca Panas: Murid Dibenar Pakai Pakaian Sukan - KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kebenaran kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana sekolah untuk mengenakan pakaian sukan yang sopan ketika cuaca panas.

Menerusi hantaran di laman Facebook KPM, pengumuman tersebut dibuat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam memastikan keselamatan murid ketika menghadapi cuaca panas terpelihara.

“Kementerian Pendidikan merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk memastikan aspek keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah dalam keadaan cuaca panas terpelihara,” maklum kenyataan tersebut.

Baca juga:

Tambah KPM, titah Yang di-Pertuan Agong menjadi peringatan kepada semua institusi pendidikan KPM supaya memastikan langkah berjaga-jaga diambil.

Pihak berkaitan turut diingatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan dalam menghadapi cuaca panas ketika ini.

Dalam kenyataan yang sama, KPM memaklumkan bahawa arahan berkaitan telah disampaikan kepada semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian berkenaan.

“Ini termasuk keperluan untuk memantau pelaksanaan aktiviti luar serta kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas,” jelas KPM.

Terdahulu, Sultan Ibrahim telah menitahkan kepada pihak KPM agar memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas menerusi satu hantara di laman Facebook rasmi Baginda Sultan Ibrahim.

Muat naik tersebut turut merangkumi titah Seri Paduka Baginda agar rakyat mengamalkan langkah berjaga-jaga berikutan fenomena yang dijangka berterusan hingga awal atau pertengahan Jun ini.

Baginda menasihati rakyat agar menekankan aspek penjagaan kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas. Rakyat turut dinasihat agar memastikan pengambilan air mencukupi.

“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api.

“Warga emas serta kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Seri Paduka Baginda.