Cuaca panas, sungai cetek punca 4.5 tan ikan mati di Hulu Terengganu

LocalEnvironment
21 Apr 2026 • 11:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cuaca panas, sungai cetek punca 4.5 tan ikan mati di Hulu Terengganu
Dr Azman

 

​KUALA TERENGGANU – Fenomena cuaca panas dan kekurangan hujan yang melanda daerah Hulu Terengganu ketika ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penternak selepas kira-kira 4,500 kilogram (kg) ikan sangkar ditemukan mati.

​Kejadian yang berlaku di Kampung Pantai Ali itu melibatkan kematian empat metrik tan ikan tilapia dan 0.5 metrik tan ikan patin berikutan paras air sungai yang menjadi terlalu cetek.

​Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, masalah mendapan sungai yang serius turut menjadi faktor penyumbang kepada kejadian tersebut sehingga menyebabkan 13 pengusaha mengalami kerugian besar.

​"Siasatan tapak oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati kombinasi cuaca panas serta mendapan sungai menyebabkan air menjadi terlalu cetek untuk kelangsungan hidup ikan-ikan tersebut.

​"Impak daripada fenomena ini dianggarkan mencecah RM57,500 melibatkan 70 unit sangkar di kawasan seluas 2,520 meter persegi," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mamad Puteh (Pas-Kuala Berang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Selasa.

​Bagi mengurangkan risiko kematian berterusan, Dr Azman menjelaskan bahawa bantuan segera berupa tali sauh telah diagihkan bagi membolehkan pengusaha menggerakkan sangkar mereka ke jajaran sungai yang lebih dalam.

​"Selain bantuan teknikal, kerajaan melalui Jabatan Perikanan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM39,600 di bawah Program Sistem Penyampaian & Khidmat Sokongan (Akuakultur) 2026 bagi meringankan beban pengusaha terjejas.

​"Kita juga menasihatkan penternak agar menyusun semula kedudukan sangkar secara sistematik bagi memastikan aliran air yang mencukupi serta mengurangkan halangan aliran hidraulik sungai," jelasnya lagi.

​Terdahulu, isu berkenaan telah dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Hulu Terengganu pada 26 Februari lalu bagi merangka solusi bagi mengatasi masalah pemendapan sedimen yang menjejaskan aktiviti akuakultur di kawasan tersebut.