Cuba Larikan Diri Daripada Polis, Lelaki Miliki 16 Rekod Jenayah Ditembak Di Kepala

9 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cuba Larikan Diri Daripada Polis, Lelaki Miliki 16 Rekod Jenayah Ditembak Di Kepala

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 16 rekod jenayah ditembak di kepala selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada polis.

Suspek dalam cubaan tersebut turut terlibat dalam kemalangan  membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Gertak Merah, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, berkata polis melepaskan dua das tembakan ke arah kereta Honda City yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu selepas dia dipercayai cuba meloloskan diri.

“Satu das tembakan mengenai kepala suspek, manakala satu lagi terkena kenderaan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, suspek mengalami kecederaan, manakala seorang wanita berusia 29 tahun yang berada bersamanya di dalam kereta berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Ab. Rahaman, kereta berkenaan dipandu secara berbahaya sebelum dikejar polis sejauh kira-kira satu kilometer, lalu merempuh beberapa kenderaan awam.

Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan tujuh paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi serta 17 kartrij vape berisi cecair yang disyaki mengandungi ketamin.

Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,350.

Semakan polis mendapati lelaki terbabit mempunyai 16 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan berkaitan dadah, samun berkumpulan, rogol dan curi kenderaan.

Wanita yang bersamanya pula mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Getaran, 9 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved