
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang memiliki 16 rekod jenayah lampau termasuk dadah, rogol dan samun cedera ditembak di bahagian kepala ketika cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Gertak Merah, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Honda City itu dipandu suspek berusia 28 tahun secara melulu sebelum dikejar polis kira-kira sejauh satu kilometer.
“Apabila tiba di lokasi berkenaan, kenderaan tersebut telah merempuh beberapa kenderaan awam lain menyebabkan polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan tersebut.
“Satu tembakan mengenai suspek di bahagian kepala, manakala satu tembakan lain pula mengenai kenderaan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, susulan kejadian itu, pemandu iaitu suspek lelaki tempatan cedera di bahagian kepala, manakala rakan wanitanya yang berusia 29 turut ditahan.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan turut menemukan tujuh paket plastik mengandungi dadah jenis ekstasi dan 17 katrij vape mengandungi cecair dadah jenis ketamine bernilai keseluruhan RM6,350.
“Suspek lelaki mempunyai 16 rekod lampau bersabda kesalahan dadah, samun berkumpulan, rogol, dan curi kenderaan. Manakala suspek wanita mempunyai satu rekod lampau melibatkan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau turut memberitahu, ujian urin turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan satu insiden tembakan berlaku di Jalan Gertak Merah berhampiran pintu masuk utama Zoo Johor.-UTUSAN
The post Lelaki miliki 16 rekod jenayah lampau cedera ditembak, rakan wanita ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






