Cubaan cemar reputasi Hajiji

LocalPolitics
25 Oct 2025 • 3:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, satu hantaran media sosial yang menyiratkan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bertemu dengan Albert Tei untuk mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah, jelas merupakan satu cubaan untuk mencemarkan reputasi beliau.

Katanya, sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri, Hajiji sering berjumpa dengan semua lapisan pihak berkepentingan.

“Pertemuan-pertemuan ini adalah mesyuarat rasmi biasa yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Ketua Menteri. Adalah tidak wajar memutarbelitkan gambar atau fakta semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Menurut Nizam, Individu di sebalik hantaran tersebut, bersama Albert, jelas mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan skandal perlombongan menggunakan gambar untuk menyiratkan.

Tegasnya, Ketua Menteri tidak menafikan kenal atau pernah bertemu dengan Albert, tetapi hantaran tersebut adalah satu cubaan untuk mempolitikkan mesyuarat biasa serta mewujudkan persepsi tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

“Ketua Menteri bersikap telus dan telah meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, sambil memberi jaminan Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan siasatan ini,” katanya.

Nizam menambah, segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang dan bukan melalui kempen fitnah di media sosial.

Sementara itu, beliau juga merujuk kepada satu laporan sebuah portal berita tempatan pada Khamis, yang memetik seorang sumber mendakwa Albert telah merancang “aksi” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat.

“Amat jelas bahawa Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi tersebut. Dia sudah merancang langkah ini lebih awal. Dia masuk ke Sabah dengan memberitahu pihak imigresen kononnya hanya mahu berjumpa kawan, sedangkan dia tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya,” katanya.

Menurut beliau, tindakan Albert itu merupakan sebahagian daripada muslihatnya untuk menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi kononnya dia dianiaya.

“Albert sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam.

“Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri,” katanya.