GEORGE TOWN - Cubaan kru kapal warga asing memberi suapan kepada anggota penguat kuasa gagal apabila sebuah kapal korek ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang di perairan Tanjung Tokong lewat malam Isnin.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia kira-kira 1.0 batu nautika timur laut Tanjung Tokong pada jam 11.30 malam hasil maklumat risikan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut membawa muatan pasir melebihi kapasiti serta dikendalikan oleh 17 kru warga asing terdiri daripada warga Indonesia dan China berusia antara 32 hingga 52 tahun.
“Beberapa kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki memasuki negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan, sekali gus dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Turut dikesan terdapat individu di atas kapal yang tidak tersenarai dalam senarai kru rasmi. Semasa pemeriksaan dijalankan, turut berlaku cubaan memberi suapan kepada anggota bertugas serta cubaan menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
**media[3518216]**
Tambahnya, tindakan itu bagaimanapun gagal apabila pihak Maritim Malaysia berjaya mengawal keadaan dan meneruskan pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Susulan itu, 10 daripada 17 kru kapal berkenaan telah diiringi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Maritim Malaysia akan terus komited mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya lagi.





