
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,750 liter petrol ke negara jiran selepas menahan dua bot di perairan Kampung Sinakut Tengah pada Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata kedua-dua bot itu dirampas menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris 4.0 yang dijalankan di kawasan berkenaan pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan masing-masing membawa 38 serta 32 tong berisi petrol.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot membawa keseluruhan 70 tong mengandungi 1,750 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM18,000.
“Pasukan turut menemui empat enjin pam yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Bagaimanapun sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan kedua-dua bot itu berjaya melarikan diri dengan meninggalkan bot serta muatan masing-masing sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Dzulfikhar kedua-dua bot bersama muatan dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ujarnya Maritim Malaysia akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan negara.





