Suami isteri ditahan, cuba seludup RM3 juta ke Singapura

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suami isteri ditahan, cuba seludup RM3 juta ke Singapura

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana cuba menyeludup keluar wang hampir RM3 juta tanpa melakukan pengisytiharan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada pukul 11.40 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kedua-dua individu berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan di kawasan pemeriksa kenderaan menuju ke Singapura.

Menurutnya, pemandu dan penumpang yang merupakan ahli perniagaan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Ketika pemeriksaan dibuat tiga pegawai AKPS, pemandu menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal sebelum diarah membuka ruang penyimpanan barang dan tempat duduk penumpang untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai RM1,971,697 dan 300,000 dolar Singapura, menjadikan keseluruhan wang tunai ditemukan berjumlah RM2.92 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat AKPS BSI, di sini semalam.

Tambah Mohd. Nasaruddin, kesemua wang tunai itu ditemukan tersimpan rapi dalam tiga buah kotak, satu beg kertas dan satu beg galas berwarna hitam.

“Pasangan terbabit mendakwa mereka mahu ke Singapura untuk melancong, bagaimanapun pihak berkuasa masih menyiasat tujuan mereka membawa wang tunai tersebut.

“Kedua-dua ditahan, mana­ka­la wang tunai serta kende­raan dirampas bagi membantu sia­satan mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.

Mohd. Nasaruddin turut memberitahu, mana-mana pi­hak yang mahu membawa ma­suk atau keluar wang tunai berjumlah lebih AS$10,000 perlu melakukan pengisytiharan.

“AKPS komited perketat kawalan semua pintu masuk negara bagi banteras pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam atau datangkan kerugian hasil negara,” katanya. – UTUSAN

The post Suami isteri ditahan, cuba seludup RM3 juta ke Singapura appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved