Cubaan suspek bawa lari barang kemas di Klang gagal

20 Aug 2026 • 8:52 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Cubaan suspek bawa lari barang kemas di Klang gagal

KLANG – Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana, di sini, pagi tadi gagal selepas mereka berdepan situasi yang memaksa mereka melarikan diri dari premis berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua suspek dipercayai menggunakan tukul untuk memecahkan cermin pameran sebelum seorang lagi rakan mereka mengacukan senjata api yang dipercayai pistol ke arah pekerja kedai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariifin Aman Shah berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan sebagai cubaan samun yang membabitkan sebuah kedai emas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika cubaan samun berkumpulan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menunjukkan senjata api ketika cuba melakukan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular, dua individu dilihat bertindak memecahkan cermin pameran menggunakan tukul, manakala seorang lagi suspek mengacukan senjata ke arah pekerja.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan dipercayai gagal memperoleh sebarang barang kemas sebelum beredar menggunakan dua motosikal. Seorang lagi rakan mereka dipercayai menunggu di luar premis bagi membantu melancarkan pelarian kumpulan terbabit.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan mengesan kesemua suspek yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sulaimi Alawi @ Shaari di talian 014-5719405.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

The post Cubaan suspek bawa lari barang kemas di Klang gagal appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved