Cucu tidak tahu Najib di penjara

LocalFamily & Parenting
26 Sep 2026 • 8:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cucu tidak tahu Najib di penjara

KUALA LUMPUR: Cucu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengetahui datuk mereka yang kini berada di penjara. 

Menurut anak Najib, Nooryana Najwa, beliau mengambil pendirian untuk tidak mendedahkan realiti sebenar kepada anak-anaknya berhubung situasi sebenar datuk mereka

Katanya, tindakan itu merupakan cabaran besar buat dirinya sebagai ibu untuk mendedahkan kebenaran, namun beliau perlu mengutamakan mental dan emosi anaknya yang perlu dijaga. 

Malah katanya, peranan yang sama turut dipikul ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sentiasa mengingatkan cucunya bahawa datuk mereka kini sedang sibuk bekerja. 

“Adam adalah cucu yang paling rapat dengan ayahanda. Dia selalu bertanya bila datuk mahu pulang ke rumah? Jadi saya akan terus bercakap yang datuk mereka sedang sibuk. 

“Jadi bila kita pergi melawat ayahanda, dia akan tanya, kita akan melawat datuk di pejabat (mahkamah atau penjara) yang mana? 

“Jadi sehingga hari ini, dia akan fikir mahkamah atau penjara itu adalah pejabat datuknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nooryana Najwa berkata, beliau cukup kuat untuk berdepan dengan orang ramai apabila ditanyakan tentang bapanya, namun hati akan mula meruntun jiwa apabila menyentuh perihal anaknya yang sememangnya rapat dengan datuk mereka. 

“Hati ibu mana yang tidak tercuit bila mengenangkan hubungan anak bersama datuk mereka. Sama seperti saya, Adam tahun ini berusia sembilan tahun. Macam-macam soalan yang ditanya tetapi saya akan pusing cerita sana dan sini,” katanya. 

Nooryana Najwa berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk anaknya mengetahui realiti sebenar, malah ibunya turut akan memainkan peranan sama bagi menguatkan emosi cucunya. 

“Saya bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat. Sokongan itu sudah tentu dari suami, ibu, ahli keluarga dan rakan-rakan dalam perjuangan ini. 

“Jadi saya perlu terus memberi motivasi kepada Adam dan mengingatkan dia supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.-UTUSAN

 

The post Cucu tidak tahu Najib di penjara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved