Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cucu Tok Guru Nik Aziz dakwa ditampar senator
Nik Alif Aiman membuat laporan polis di IPD Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Menurut beliau, penceramah jemputan ketika program berkenaan ialah senator yang juga diperkenalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti.

"Dalam perbualan selepas sesi bergambar, seorang TNC memaklumkan kepada senator berkenaan bahawa saya merupakan cucu kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Selepas itu timbul perbualan berkaitan politik dan saya mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Pas sebelum secara tiba-tiba menampar pipi kiri saya menggunakan tangan kanannya," katanya yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Nik Alif Aiman mendakwa tamparan itu tidak menyebabkan kecederaan fizikal, namun cukup kuat sehingga menyebabkan kepala dan mukanya teralih ke sebelah kanan akibat impak berkenaan.

Beliau memberitahu, kejadian tersebut berlaku di hadapan kira-kira 10 hingga 15 individu termasuk beberapa pegawai kanan universiti dan rakan-rakan MPP universiti berkenaan.

"Saya tidak membalas tindakan tersebut kerana menghormati beliau sebagai individu yang lebih berusia. Namun saya berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana kejadian berlaku di hadapan orang ramai selain merasakan maruah diri serta keluarga tercalar," katanya.

Menurut beliau, tindakan itu turut dianggap sebagai penghinaan terhadap keluarganya yang mempunyai kaitan dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tokoh agama dan pemimpin yang dihormati ramai.

Ujarnya, selepas insiden berkenaan, senator terbabit didakwa ada mengajaknya makan bersama, namun pelawaan itu ditolak sebagai tanda protes terhadap tindakan yang berlaku.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu bapanya, Abdul Ariffahmi Abd Rahman ketika dihubungi memberitahu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.

"Pada malamnya pihak polis telah memanggil anak saya untuk ambil keterangan lebih kurang sejam. Esoknya pada Ahad kami telah ke Bentong selepas dipanggil sekali lagi oleh pihak polis di sana untuk memberi keterangan.

"Kita bawa pihak polis ke lokasi kejadian. Nik Alif Aiman kini berada dalam keadaan sedih, terkilan kerana dia merupakan Yang Dipertua MPP dan diperlakukan sedemikian," katanya.

View Original Article