‘Cukup di mata awak, baba ni alright’ – Sharnaaz Ahmad titip pesan buat Jebat Jayden, mahu anak sentiasa rendah diri

Family & ParentingLifestyle
2 Sep 2026 • 1:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Cukup di mata awak, baba ni alright’ – Sharnaaz Ahmad titip pesan buat Jebat Jayden, mahu anak sentiasa rendah diri

BAGI seorang bapa, melihat anak membesar bukan sekadar tentang bertambahnya usia, tetapi tentang melihat insan kecil itu perlahan-lahan memahami kehidupan.

Itulah yang dirasai pelakon Sharnaaz Ahmad ketika meraikan ulang tahun kelahiran anak lelakinya, Jebat Jayden Ahmad yang genap lapan tahun pada 30 Ogos lalu.

Bersempena hari istimewa itu, Sharnaaz menitipkan ucapan penuh emosi buat Jebat menerusi media sosial, malah menyifatkan cahaya matanya itu sebagai ‘tulang belakang’ dan sumber kekuatan dalam hidupnya.

“Happy birthday to my back bone, my strength.

“Awak ajar baba (Sharnaaz) setiap hari tentang bersyukur, and jadi baba yang baik walaupun di mata orang lain kita jahat dan tak guna.

“Tapi cukup di mata awak baba ni alright, dah complete hidup baba. Terima kasih jadi anak yang hebat buat baba,” luahnya.

Di sebalik kata-kata tersebut, jelas Jebat bukan sekadar seorang anak buat Sharnaaz, sebaliknya insan yang banyak mengajarnya tentang erti syukur, kasih sayang dan menjadi seorang bapa yang lebih baik.

Menariknya, pelakon Blood Brothers: Bara Naga itu turut mengambil kesempatan menitipkan satu pesanan yang cukup dekat dengan kehidupan kepada Jebat.

Menurut Sharnaaz, kejayaan dan wang bukan alasan untuk seseorang meninggalkan sifat rendah diri.

“Jadilah orang yang sentiasa tunduk ke bumi walaupun berjaya, berduit macam mana pun,” pesannya.

Lebih unik, Sharnaaz menggunakan analogi sebuah topi untuk menyampaikan mesej tersebut kepada anaknya.

“Nasihat paling simple baba bagi kat awak sekarang ialah, beli lah topi murah berharga RM29 tapi bila you pakai dan jual balik, topi tu boleh bernilai RM2000.

“Ia bukan soal topi tapi ia soal awak menjadi sesuatu yang berharga,” tambahnya.

Image from: ‘Cukup di mata awak, baba ni alright’ – Sharnaaz Ahmad titip pesan buat Jebat Jayden, mahu anak sentiasa rendah diri

Pesanan itu seolah-olah membawa satu makna lebih besar bahawa nilai seseorang tidak semestinya bergantung kepada apa yang dimiliki, sebaliknya bagaimana dirinya dibentuk dan dihargai.

Dalam pada itu, ruangan komen hantaran berkenaan turut dipenuhi ucapan daripada orang ramai yang mendoakan Jebat membesar sebagai anak yang baik, bijak serta sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan ALLAH SWT.

“May ALLAH bless you both abundantly and open doors of rizq for you from places you never expected. Most importantly, may He bless you both with good health, happiness, and a life filled with barakah.”

“Happy birthday Jebat yang hebat. Semoga menjadi anak yang soleh, bijak dan sentiasa tenangkan hati baba.”

“Alhamdulillah, happy birthday Jebat. Semoga menjadi anak yang soleh dan berjaya dunia dan akhirat.”

Untuk rekod, Jebat merupakan anak hasil perkahwinan Sharnaaz dan usahawan, Noor Nabila.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 sebelum berpisah pada 9 Julai 2020.

Dalam perkembangan sama, Sharnaaz yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 turut menerima ucapan daripada netizen yang menyedari tarikh istimewa mereka hampir bersama.

“Happy birthday Sharnaaz dan Jebat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati kamu berdua.”

“Happy birthday for Jebat and baba juga. Semoga berjaya dunia dan akhirat dan diberi kesihatan yang baik.”

Buat Sharnaaz, mungkin lapan tahun usia Jebat kelihatan singkat, namun setiap tahun yang dilalui bersama pastinya menyimpan pelbagai cerita.

Dan daripada seorang anak yang masih kecil, lahir juga satu peringatan buat seorang bapa bahawa menjadi insan yang lebih baik kadangkala bermula daripada melihat dunia melalui mata seorang anak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved