Cukuplah! Ketepikanlah hijau atau biru, kita bersama dalam satu wadah demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 9:58 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perbezaan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kedua-dua pihak bergerak bersama demi kepentingan rakyat, khususnya dalam memperkasa golongan usahawan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kerjasama rentas kerajaan penting bagi memastikan rakyat dan semua golongan termasuk usahawan terus mendapat manfaat.

Image from: Cukuplah! Ketepikanlah hijau atau biru, kita bersama dalam satu wadah demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

Kredit Foto: FB Zahid Hamidi

Menurutnya, pelbagai kementerian, agensi, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta kerajaan negeri kini perlu disatukan dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu.

“Hari ini, kita mempunyai pelbagai kementerian, agensi, institusi kewangan, GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), kerajaan negeri, yang dah mula berkawan dengan gelombang biru.
“MB (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) tak boleh datang tapi wakil MB (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin) ada.
“Kita berikan penghargaan pada beliau. Dia pun hijau, itu susah nak bertembung dengan warna biru tapi kali ini, insya-Allah kita sama-sama untuk menyediakan sokongan…untuk usahawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB), di sini hari ini.
Image from: Cukuplah! Ketepikanlah hijau atau biru, kita bersama dalam satu wadah demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

Kredit Foto: FB Zahid Hamidi

Ahmad Zahid berkata, perbezaan pendekatan antara kerajaan negeri dan Pusat perlu diketepikan bagi memastikan sokongan kepada usahawan Bumiputera dapat diberikan secara lebih menyeluruh.

Artikel lain: Insya-Allah, gelombang biru pekat BN-PN akan terus menular di PRN Melaka – Zahid Hamidi

“Dengan kemajuan teknologi dan AI (kecergasan buatan) hari ini, tiada lagi alasan untuk kita terus bergerak secara silo. Semua instrumen ini mesti dihubungkan supaya usahawan dapat bergerak dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu dan berkesan.
“Negeri cara lain, Pusat cara lain, cukup lah, yang akan menjadi mangsa usahawan. Ketepikanlah hijau atau biru, kita bersama dalam satu wadah,” katanya.
Image from: Cukuplah! Ketepikanlah hijau atau biru, kita bersama dalam satu wadah demi kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

Kredit Foto: FB Zahid Hamidi

Sehubungan itu, beliau menggesa pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian, agensi dan kerajaan negeri disegerakan bagi memastikan agenda memperkasa usahawan Bumiputera dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Perkara ini sudah dicadangkan, sudah disebut berkali-kali dan sudah pun diperincikan melalui pekeliling. Saya tidak mahu perkara ini terus tertangguh. Jangan sampai indah khabar daripada rupa,”ujar beliau.

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved