
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini (26 Ogos) bertitah mahu semua generasi muda dididik untuk menghormati setiap masyarakat meskipun berbeza agama, kaum dan budaya.
Dalam masa sama, pemimpin dan ahli politik turut diingatkan agar menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan sesama rakyat.
“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat.”
Kibar Jalur Gemilang Mudah, Lahirkan Individu Yang Berbangga Jadi Rakyat Malaysia Tugas Lebih Besar
Menerusi kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah sesuatu yang mudah namun, tugas yang jauh lebih besar adalah membina sebuah negara yang mana rakyatnya terdiri daripada setiap kaum, agama dan pelbagai latar belakang yang saling menghormati.
Jalur Gemilang Dikibarkan Di Tiang Bendera Negeri Selangor Hingga 17 September
Dalam pada itu, Sultan Selangor telah berkenan agar Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, bermula 26 Ogos 2026 sehingga 17 September 2026, bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69.
Satu upacara menaikkan Jalur Gemilang juga telah berlangsung pada hari ini di Dataran Selangor sebagai simbol kecintaan kepada tanah air serta bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.
“Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika menyambut kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama. Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional.”
Jadikan Bulan Kemerdekaan Untuk Perkukuh Semangat Perpaduan, ‘Togetherness’ Dalam Kalangan Rakyat Malaysia – Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah membezakan bangsa Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban atau mana-mana kaum, agama, serta kepercayaan.
“Justeru, baginda menyeru seluruh rakyat supaya menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti (togetherness) dan rasa saling hormat-menghormati.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda.
Baca Artikel Berkaitan: Masih Ada Yang Tersilap Pasang, Ini Panduan Gantung & Cara Guna Jalur Gemilang Dengan Betul [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Jalur Gemilang Dipasang Terbalik: Tiada Ruang Untuk Cuai Atau Lalai Khususnya Berkaitan Simbol Negara – Presiden PPP Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: Ini Maksud Prinsip Rukun Negara Serta Warna & Lambang Pada Jalur Gemilang






