Cuti peristiwa khas terpakai kepada penjawat awam Persekutuan, negeri di Selangor

26 Aug 2026 • 7:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cuti peristiwa khas terpakai kepada penjawat awam Persekutuan, negeri di Selangor
Cuti peristiwa khas pada 1 September ini terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan negeri yang berkhidmat di Selangor.

SHAH ALAM - Pengisytiharan cuti peristiwa khas pada 1 September ini bersempena kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan negeri yang berkhidmat di Selangor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta untuk memberikan cuti kepada pekerja masing-masing, tertakluk kepada pertimbangan majikan dengan mengambil kira keperluan operasi serta kelangsungan perkhidmatan dan perniagaan. 

"Pelaksanaan cuti peristiwa khas ini tertakluk kepada peruntukan Subseksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am (cuti peristiwa/tambahan) bagi negeri tersebut. 

"Kemenangan ini juga diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya sukan serta menjadi inspirasi kepada rakyat Selangor untuk bergiat aktif dalam sukan dan mengejar kecemerlangan sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Selangor yang telah menunjukkan semangat juang serta disiplin dalam mengharumkan nama negeri sepanjang SUKMA 2026.   

Isnin lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Penutup SUKMA 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral mengisytiharkan 1 September sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.  

Kontinjen Selangor mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan di tempat kedua dan Terengganu ketiga pada temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 itu. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved