Selangor isytihar 1 September cuti peristiwa khas

26 Aug 2026 • 5:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor isytihar 1 September cuti peristiwa khas

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri mengisytiharkan 1 September ini sebagai Cuti Peristiwa Khas susulan kejayaan Kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata cuti pada Selasa itu terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan Negeri yang berkhidmat di Selangor.

“Cuti Peristiwa Khas ini terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan Negeri yang berkhidmat di Negeri Selangor, sebagai tanda kebersamaan seluruh jentera perkhidmatan awam dalam menjayakan SUKMA XXII,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengisytiharan itu selaras dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Penutup SUKMA 2026, 24 Ogos lalu.

Image from: Selangor isytihar 1 September cuti peristiwa khas
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan majikan sektor swasta di Selangor turut memberikan cuti kepada pekerja masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, pemberian cuti kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada pertimbangan majikan dengan mengambil kira keperluan operasi serta kelangsungan perkhidmatan dan perniagaan.

"Pelaksanaan Cuti Peristiwa Khas itu dibuat mengikut subseksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am bagi negeri berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pegawai dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan Kontinjen Selangor sepanjang temasya berlangsung.

“Kejayaan ini wajar diraikan bersama-sama oleh seluruh rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu diharap dapat menyemarakkan budaya sukan, sekali gus menjadi inspirasi kepada rakyat Selangor untuk terus aktif dan mengejar kecemerlangan di peringkat tertinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved