KOTA BHARU - Rakyat dinasihatkan menggelak percutian ke Thailand buat sementara waktu susulan ketegangan keselamatan di beberapa wilayah negara itu, terutama waktu cuti persekolahan yang bakal bermula hujung minggu ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kebiasaannya ramai rakyat negara ini terutama Kelantan mengambil kesempatan berkunjung ke Thailand bersama keluarga terutama pada musim cuti.
“Orang Malaysia pun suka ke Thailand kerana banyak keistimewaan di sana.
“Cuma dalam keadaan sekarang, kalau tidak ada keperluan penting, tangguhkan dahulu perjalanan sehingga suasana kembali aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Bermula Sabtu lalu, serangan yang berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala melibatkan lebih 50 kejadian termasuk letupan bom, pembakaran bangunan dan pembakaran tayar.
Insiden turut menyebabkan gegaran dirasai penduduk di beberapa kawasan berhampiran sempadan Kelantan-Thailand.
Menurut Mohamed Fadzli, hubungan antara masyarakat Kelantan dan penduduk di selatan Thailand sememangnya rapat termasuk hubungan kekeluargaan serta aktiviti ekonomi serta sosial yang merentasi sempadan.
Bagaimanapun, katanya, keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan ketika keadaan di negara jiran itu masih belum benar-benar stabil.
“Kami faham hubungan kita dengan Thailand sangat rapat dan ramai rakyat kita mempunyai keluarga serta urusan di sana.
“Tapi apabila berlaku kekacauan sebegini, kami nasihatkan supaya berhati-hati,” katanya.
Insiden berkenaan turut memberi kesan kepada pergerakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang apabila jumlah pergerakan keluar ke Thailand menunjukkan penurunan selepas kejadian.
Berdasarkan rekod Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sebanyak 1,696 pergerakan keluar direkodkan pada Sabtu sebelum menurun kepada 1,273 pada Ahad dan Isnin.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam siri serangan berkenaan.




