

Musim cuti sekolah yang bermula hujung minggu ini kebiasaannya menyaksikan ribuan rakyat Malaysia berpusu-pusu melawat negara jiran. Bagaimanapun, keadaan keselamatan semasa menuntut kawalan kendiri yang lebih ketat daripada orang ramai.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kebiasaannya ramai rakyat negara ini terutama Kelantan mengambil kesempatan berkunjung ke Thailand bersama keluarga terutama pada musim cuti.
“Kita dan Thailand adik-beradik, lagipun orang Malaysia suka ke sana sebab banyak keistimewaan tapi apabila berlaku insiden di sana, nasihatkan rakyat kita berhati-hati sehingga suasana kembali aman.
“Cuma dalam keadaan sekarang, kalau tidak ada keperluan penting, tangguhkan dahulu perjalanan sehingga suasana kembali aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Bermula Sabtu lalu, serangan yang berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala melibatkan lebih 50 kejadian termasuk letupan bom, pembakaran bangunan dan pembakaran tayar.





