Rakyat Malaysia diminta waspada jika ke selatan Thailand - KPN

26 Aug 2026 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia diminta waspada jika ke selatan Thailand - KPN
Mohd Khalid semasa sidang akhbar pada Rabu.

RANTAU PANJANG - Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengutamakan keselamatan diri ketika melakukan perjalanan ke selatan Thailand susulan lebih 70 lokasi di negara jiran itu dilanda siri serangan bom dan khianat bakar sejak minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkembangan berkenaan perlu diberi perhatian kerana keadaan tersebut berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada rakyat Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan ke kawasan terbabit.

"Secara jujurnya saya minta dan saya memohon kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati semasa melakukan perjalanan ke negara jiran.

"Banyak saya lihat beberapa perkembangan yang mungkin boleh menimbulkan kemudaratan di pihak kita," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, beliau mengadakan tinjauan di sempadan berhampiran pangkalan haram Lubok Gong di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Terdahulu lebih 70 lokasi di empat wilayah selatan Thailand dilanda siri serangan bom dan khianat bakar yang disyaki dilakukan kumpulan pemberontak pada hujung minggu lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga individu cedera.

Pihak berkuasa merekodkan sekurang-kurangnya 78 insiden dengan Narathiwat mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 40 kejadian, diikuti Yala (21), Pattani (15) dan Songkhla (dua).

Kebanyakan serangan berlaku pada malam 22 Ogos di Pattani, Yala, Narathiwat dan beberapa kawasan di Songkhla sebelum berlanjutan pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid memberitahu, pihaknya terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Kelantan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku susulan perkembangan keselamatan di negara jiran.

Ujarnya, kawalan dipertingkatkan menerusi penambahan anggota, penggunaan teknologi dron selain beberapa peralatan canggih bagi mengawasi kawasan sempadan.

"Tindakan yang dibuat oleh pihak KDNKA (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) dan Ketua Polis Kelantan begitu berkesan.

"Kita telah mempertingkatkan kawalan dari pelbagai sudut termasuk penggunaan teknologi dron dan juga beberapa peralatan canggih yang kita ada untuk memastikan tidak berlaku ketirisan di sempadan," katanya.

Menurut beliau, langkah berkenaan turut bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan termasuk membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan keperluan harian.

"Penyeludupan sama ada PATI ataupun barang-barang keperluan harian merupakan satu perkara yang saya percaya begitu kritikal dan memerlukan pengawasan berterusan supaya ketirisan ini dapat kita kawal dengan baik dan sempurna," katanya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved