CXMT, syarikat pengeluar komponen memori dan storan dari China baru-baru ini telah disenaraikan di pasaran China melalui STAR Market, dimana nilai saham mereka didagangkan dari nilai 8.86 yuan dan telah meningkat ke 49 yuan apabila pasaran tersebut ditutup untuk menjadikannya syarikat tersenarai terbesar di China sekarang.
Syarikat tersebut kini mempunyai modal pasaran setinggi 3.3 trilion yuan (~RM2 trilion) dan kini telah menjadi syarikat pengeluar komponen memori keempat terbesar di dunia selepas SK Hynix, Samsung dan Micron. Menariknya, dengan penyenaraian ini, CXMT dijangka akan menjadi syarikat paling bernilai di China tidak lama lagi.
Sebagai perbandingan, syarikat-syarikat komponen memori seperti SK Hynix, Samsung dan Micron kini mempunyai nilai pasaran $1 trilion seperti yang telah dilaporkan pada pertengahan tahun ini.
Dalam pada itu, jangkaan ramai bahawa CXMT akan menjual komponen memori untuk peranti pengguna pada harga yang lebih mampu milik nampaknya telah meleset sama sekali. Ia dilaporkan bahawa sebagai “pembekal baru”, CXMT akan menjejak dan mengikuti harga pasaran semasa. Syarikat-syarikat seperti Apple, Lenovo, Huawei dan lain-lain dijangka akan membeli memori keluaran mereka bukan kerana ia lebih murah, tetapi kerana mahukan bekalan untuk peranti-peranti mereka sendiri.

Malah, untuk komponen memori pusat data, ia dilaporkan juga bahawa CXMT menjual komponen memori DDR5 RDIMM 64 GB mereka pada harga yang lebih mahal daripada apa yang ditawarkan oleh Samsung, yang menjual memori yang sama pada harga $1240 setiap satu.
Oleh kerana ini, pendapatan tambahan yang diperoleh daripada penyenaraian awam CXMT akan digunakan untuk membina kilang-kilang pengeluaran memori baru di Shanghai dan Hefei, yang merupakan lokasi ibu pejabat CXMT. Dengan pembukaan kilang-kilang ini, CXMT dijangka akan mengeluarkan 600 ribu wafer memori setiap bulan untuk memenuhi permintaan pelbagai jenis pelanggan yang memerlukan cip memori.
Dengan laporan-laporan sebegini, ia tidak begitu mengejutkan untuk melihat mengapa ketandusan bekalan komponen memori dijangka akan berpanjangan untuk beberapa tahun lagi. CXMT kini dilaporkan memegang kira-kira 8-10 peratus pengeluaran memori global, di belakang Micron (24 peratus), SK Hynix (29 peratus) dan Samsung (32 peratus).
Sumber: CNBC, TechPowerUp





