amree20/11/2026 - 17:20 KAMARUL ARIFFIN Abdul Samad (kiri) dan Raymond Davidass bertukar-tukar dokumen MoU disaksikan Ng Sze Han di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto kredit Cyberview Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Pelaburan tahunan sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS) negara ini yang melonjak lebih empat kali ganda kepada RM9.87 bilion antara 2022 hingga 2024, membuka peluang besar kepada Cyberjaya menarik operasi berteknologi tinggi dan bernilai tambah.
Seiring perkembangan positif itu, Cyberview Sdn Bhd dan Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia (GBS Malaysia) menjalin kerjasama strategik menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi menarik lebih banyak pelaburan GBS yang bernilai tinggi ke Cyberjaya.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pemudahcaraan pelaburan, penglibatan industri, inovasi serta pembangunan bakat bagi memperkukuh ekosistem GBS dan menjadikan Cyberjaya destinasi pilihan bagi operasi perniagaan global generasi baharu.
"Menerusi pemudahcaraan pelaburan, ahli GBS Malaysia akan mendapat saluran khusus untuk melaksanakan projek strategik di Cyberjaya, manakala penglibatan industri diperkukuh melalui perkongsian pengetahuan dan dialog strategik," kata kenyataan Cyberview pada Jumaat.
Pertukaran MoU tersebut berlangsung pada Sidang Kemuncak Global GBS 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLGCC), dengan disaksikan sendiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.
Kerjasama inovasi pula menghubungkan syarikat GBS dengan rumusan teknologi buatan tempatan menerusi inisiatif 'Made in Cyberjaya' bagi menyokong pertumbuhan serta pengkomersialan syarikat pemula. Pembangunan bakat meliputi penganjuran hackathon, kempen pengambilan pekerja, forum dan pameran kerjaya.

Bersempena pemeteraian MoU itu, Cyberview, GBS Malaysia dan Invest Selangor turut melancarkan laporan bersama bertajuk 'Cyberjaya Powers Next-Gen Global Business Services' yang menggariskan potensi bandar itu sebagai lokasi operasi perniagaan termaju berteraskan teknologi.
"Laporan tersebut turut mendedahkan Malaysia sudah mempunyai sebanyak 749 syarikat GBS aktif pada separuh pertama 2025, dengan komitmen pelaburan baharu mencecah RM4.99 bilion yang dijangka mewujudkan sejumlah 5,632 peluang pekerjaan," jelas kenyataan itu.
Menurut laporan berkenaan, industri GBS global kini berkembang melangkaui perkhidmatan perkongsian tradisional kepada fungsi bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis perniagaan, automasi, pengurusan risiko dan transformasi perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata, kerjasama itu akan memperkukuh ekosistem pelaburan, inovasi dan bakat di Cyberjaya, disokong infrastruktur serta kemudahan yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan industri berkenaan.
Laporan itu turut menyatakan Cyberjaya mempunyai asas operasi perkhidmatan antarabangsa, kemudahan pejabat, kumpulan bakat serta lebih 20 pusat data (DC) termasuk berskala besar.
Pengerusi GBS Malaysia, Datuk Raymond Davadass dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang memperkukuh daya saing Malaysia serta kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan GBS bernilai tinggi di peringkat global. - DagangNews.com






