amree18/11/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Jotun memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pangkalan strategik di Asia Tenggara dan Pasifik menerusi pelaburan lebih RM500 juta bagi membangunkan ibu pejabat serantau serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.
Kemudahan bernilai kira-kira AS$123 juta (RM507.13 juta) itu dirasmikan pada 18 November 2026, sekali gus menandakan langkah penting pengembangan syarikat pengeluar cat dan salutan global berpangkalan di Norway itu sempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya.
Bangunan itu mampu menempatkan sehingga 200 kakitangan, dengan 133 pekerja kini beroperasi di lokasi berkenaan. Ia akan menyokong perniagaan Jotun di Malaysia serta lapan pasaran lain, iaitu Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Singapura dan Australia.
Naib Presiden Jotun bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Jon Bigseth berkata, kemudahan bersepadu itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pertumbuhan rantau ini serta komitmen untuk menyatukan kepakaran, tenaga kerja dan jaringan kerjasama bagi memacu pertumbuhan mampan.
"Pusat R&D ini dilengkapi sebuah makmal yang merangkumi empat segmen utama, iaitu cat dekoratif, salutan marin, salutan pelindung dan salutan serbuk, sekali gus membolehkan pembangunan serta pengujian produk bagi pelbagai keperluan pasaran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kemudahan itu turut dilengkapi peralatan analisis termaju seperti spektrometer inframerah transformasi Fourier (FTIR), kalorimeter imbasan pembezaan (DSC), reometer dan spektrofotometer, selain peralatan ujian kakisan serta mesin simulasi cuaca bagi menilai ketahanan produk.
Keupayaan R&D itu akan dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian salutan yang disesuaikan dengan iklim Asia Tenggara, termasuk cat luaran direka lebih tahan terhadap cuaca melampau dan kotoran serta cat dalaman dengan pelepasan rendah dan ketahanan tinggi.
Pengarah R&D Serantau Jotun bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Hans Kristian Austad berkata, kemudahan baharu itu membolehkan syarikat meneroka lebih banyak idea, menambah baik produk dan menghasilkan rumusan secara khusus mengikut keperluan pasaran serantau.
Jotun jelas kenyataan tersebut, turut mengetengahkan elemen tempatan dalam reka bentuk bangunan menerusi fasad yang bercorak songket, manakala reka bentuk dalaman dan perabot pula menggabungkan inspirasi warisan Norway serta pengaruh budaya Asia Tenggara.

Dari aspek kelestarian, bangunan itu memperoleh pensijilan LEED Gold serta dilengkapi sistem solar berkapasiti 237.90 kilowatt puncak (kWp) yang membekalkan antara 5% hingga 10% keperluan tenaga, selain sistem penuaian air hujan untuk kegunaan penyelenggaraan landskap dan curahan tandas.
Projek yang pembinaannya bermula pada 19 Ogos 2024 dan siap pada 18 Oktober 2026 itu turut memperoleh penarafan lima bintang Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) serta skor 88 di bawah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC).
Pusat itu juga mempunyai kemudahan pengeluaran perintis bagi meningkatkan skala inovasi sebelum pengeluaran. Ditubuhkan di Sandefjord, Norway pada 1926, Jotun kini mempunyai 68 syarikat di 49 negara dan kira-kira 40 fasiliti pengeluaran di 25 negara, selain diwakili di lebih 100 negara. - DagangNews.com






