amree16/11/2026 - 16:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Mastercard merancang mewujudkan lebih 250 pekerja pakar di Singapura menjelang akhir 2029 menerusi pembukaan pusat inovasi terbesarnya di Asia Pasifik itu, ketika teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi masa depan urus niaga dan pembayaran digital.
Pusat Inovasi Kecemerlangan (ICoE) seluas lebih 669 meter persegi itu menjadi hab serantau yang menghimpunkan kepakaran dalam AI, keselamatan siber, pengalaman pelanggan dan pembangunan prototaip pantas bagi menghasilkan penyelesaian teknologi untuk lebih 40 pasaran Asia Pasifik.
Lebih 55 kakitangan bertaraf pakar kini bertugas di pusat berkenaan bagi membantu institusi kewangan, peniaga, kerajaan dan rakan teknologi menangani cabaran baharu, meningkatkan daya tahan serta membangunkan pengalaman digital yang lebih baik.
"Penambahan tenaga pakar itu akan memperkukuh keupayaan syarikat dalam bidang AI secara lebih bertanggungjawab, perdagangan digital yang dipercayai, keselamatan siber, data dan sistem pembayaran di rantau ini," kata Mastercard dalam kenyataan pada Isnin.
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Dr Tan See Leng berkata, pusat berkenaan akan membolehkan bank, peniaga, syarikat teknologi dan kerajaan membangunkan serta menguji penyelesaian baharu, khususnya dalam AI, keselamatan siber dan pencegahan penipuan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB), Png Cheong Boon pula berkata, pelaburan itu memperkukuh kerjasama jangka panjang dengan Mastercard, selain menjadikan Singapura hab penting bagi pembangunan teknologi generasi baharu dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi.

ICoE merangkumi empat kemudahan utama iaitu Pusat Kecemerlangan AI membangunkan rumusan perdagangan pintar dan pencegahan penipuan, serta Fusion Centre yang menggabungkan kepakaran keselamatan siber, penipuan dan keselamatan fizikal bagi mengesan risiko serta menyelaras tindak balas.
"Dua kemudahan lain ialah Mastercard Experience Centre yang membolehkan rakan industri meneroka teknologi baharu, serta Makerspace sebagai ruang membangunkan, menguji dan menambah baik prototaip sebelum diperkenalkan kepada pasaran," jelas syarikat berkenaan.
Presiden Asia Pasifik Mastercard, Richard Wormald berkata, pusat tersebut bakal menghubungkan kepakaran dan maklumat daripada lebih 40 pasaran, dengan segala rumusan yang dibangunkan di Singapura berpotensi diperluas ke peringkat global.
Mastercard turut menjangkakan lebih satu daripada 10 pembeli dalam talian akan menggunakan ejen AI secara rutin untuk membuat pembelian menjelang 2030, manakala perdagangan pengguna global bernilai hingga AS$5 trilion (RM20.45 trilion) berpotensi diuruskan oleh teknologi AI ejen.
Pada ketika ini, Mastercard mempunyai lebih 850 pekerja di Singapura, termasuk ibu pejabat Asia Pasifiknya, dengan jumlah kakitangan dijangka melebihi 1,000 orang menjelang akhir 2029. - DagangNews.com




