
LAHAD DATU: Polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah menerusi beberapa operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata dua lelaki ditahan dalam satu serbuan di kawasan ladang di Jalan Silam sekitar jam 1.50 petang, pada Ahad lalu.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan pasukan polis mengesan dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahan kedua-duanya.
“Hasil pemeriksaan ke atas salah seorang suspek menemukan lapan paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 5.28 gram di dalam beg sandang miliknya.
“Polis turut merampas pemetik api, gunting kecil, straw yang diubah suai serta sebuah telefon bimbit,” katanya sambil menambah, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah.
Dzulbaharin berkata, kedua-dua suspek, masing-masing, seorang rakyat Filipina berusia 32 tahun dan seorang warganegara Indonesia berusia 21 tahun, itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kedua-duanya bersama barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM580.80 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Dzulbaharin berkata, tiga lagi lelaki ditahan dalam Ops Tapis berasingan yang dijalankan pada Isnin.
Suspek pertama, seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun ditahan bersama 0.17 gram syabu dan turut disahkan positif dadah.
Dua lagi suspek masing-masing berusia 19 dan 23 tahun juga ditahan dalam operasi itu selepas didapati positif mengambil amfetamin dan metamfetamin.
Dzulbaharin menambah, semua suspek direman untuk siasatan.

