
PETALING JAYA: Penghantar barang atau kurier tidak perlu takut menghantar barang yang mungkin mempunyai kandungan terlarang seperti dadah.
Pengamal undang-undang, Fahmi Abd. Moin berkata, seseorang hanya boleh disabitkan bersalah, jika pendakwaan dapat membuktikan tiga elemen asas bagi kes pemilikan atau pengedaran dadah iaitu jagaan fizikal, kawalan dan pengetahuan.
Katanya, elemen ‘pengetahuan’ menjadi perkara penting dalam menentukan sama ada seseorang penghantar boleh dikaitkan dengan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, isu penghantar bungkusan atau keldai dadah yang dimanfaatkan sindiket bukan perkara baharu kerana terdapat pelbagai kes duluan yang disiasat, didakwa dan dihukum mengikut peruntukan akta berkenaan.
“Apabila seseorang suspek ditahan kerana disyaki memiliki atau mengedar dadah, antara perkara utama yang perlu dibuktikan ialah sama ada suspek mempunyai pengetahuan bahawa barang, bungkusan, beg atau kotak yang dibawanya mengandungi dadah.
“Jadi, apabila mereka ditahan, siasatan akan dibuat bagi menentukan sama ada mereka tahu atau tidak mengenai barang yang dibawa.
“Pihak pendakwaan justeru perlu membuktikan elemen pemilikan dan kawalan terhadap dadah, selain pengetahuan suspek mengenai kewujudan bahan terlarang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, sebanyak 57 kes membabitkan penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk penghantaran dadah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sekali gus menunjukkan kaedah berkenaan semakin menjadi pilihan sindiket pengedaran dadah.
Trend itu turut menyaksikan penggunaan perkhidmatan kurier oleh sindiket meningkat hampir dua kali ganda, mendorong PDRM memperketat kerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengekang kegiatan berkenaan.
Fahmi berkata, sekiranya seseorang penghantar mendakwa tidak mengetahui kandungan bungkusan, siasatan perlu meneliti maklumat yang diberikan suspek mengenai pengirim, penerima dan pihak yang mengarahkan penghantaran.
“Suspek perlu memberitahu sejak awal bahawa bungkusan itu diterima daripada seseorang dan diminta dihantar kepada penerima tertentu.
“Maklumat seperti siapa yang menyerahkan bungkusan, siapa yang mengarahkan penghantaran dan kepada siapa ia perlu dihantar penting untuk membantu siasatan serta menilai dakwaan bahawa dia adalah innocent carrier,” katanya.
Fahmi berkata, penggunaan perkhidmatan kurier, e-hailing dan p-hailing oleh sindiket dadah menuntut syarikat perkhidmatan meningkatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan pekerja mereka diperguna sebagai keldai dadah.
“Syarikat kurier boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi pengesanan dan imbasan, selain memberikan pengetahuan asas kepada pekerja mengenai risiko membawa barangan terlarang.
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan mana-mana syarikat kurier atau penghantar didakwa atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah tanpa keterangan kukuh bahawa mereka mengetahui serta bersubahat dalam perlakuan berkenaan.
Beliau berkata, pihak perkhidmatan kurier atau penghantar boleh memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha mengesan pemilik atau penerima bungkusan berkenaan.
“Pemilikan perlu disertai dengan elemen pengetahuan. Jika tiada sebarang keterangan untuk menjuruskan penghantar itu mempunyai pengetahuan bahawa kandungan kurier yang dihantarnya mengandungi dadah, maka penghantar itu tidak boleh dikatakan mempunyai milikan atas dadah tersebut.
“Pihak perkhidmatan kurier atau penghantar boleh dijadikan saksi pendakwaan terhadap mana-mana tertuduh berkaitan pemilikan dan pengedaran dadah yang terdapat di dalam bungkusan tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post Dadah: Penghantar barang tak perlu takut appeared first on Utusan Malaysia.






