Dagangan Malaysia-UAE cecah RM42.35 bilion

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 1:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dagangan Malaysia-UAE cecah RM42.35 bilion

PETALING JAYA – Nilai perdagangan dua hala Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencecah RM42.35 bilion, sekali gus menjadikan negara itu rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed Al Dhaheri di Menara MITI hari ini.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan memberi ruang untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

“UAE kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat pada 2025, dengan perdagangan dua hala bernilai RM42.35 bilion.

“Genap setahun pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–UAE (CEPA), tumpuan kita adalah memastikan perjanjian ini diterjemahkan kepada peluang perniagaan, pelaburan berkualiti dan manfaat nyata kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Johari berkata, Malaysia dan UAE juga mempunyai kedudukan strategik untuk menghubungkan perniagaan dengan pasaran ASEAN, Asia Barat, Afrika dan Eropah.

“Penglibatan lebih erat sektor swasta akan menjadi kunci untuk merealisasikan potensi ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA) mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan akses pasaran serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu turut menjadi perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan antara matlamatnya memperluas peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi. – KOSMO! ONLINE

The post Dagangan Malaysia-UAE cecah RM42.35 bilion appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved