MALBATT-13 terakhir, Malaysia-Lubnan terus perkukuh kerjasama pertahanan

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MALBATT-13 terakhir, Malaysia-Lubnan terus perkukuh kerjasama pertahanan

PETALING JAYA – Malaysia dan Lubnan bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan termasuk meneroka cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan serta meneruskan peluang latihan menerusi Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP).

Perkara itu dibincangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Negara Lubnan, H.E. Major General Michel Menassa di Kementerian Pertahanan Lubnan sempena lawatan rasmi dua hari ke negara berkenaan bermula Selasa lalu.

Image from: MALBATT-13 terakhir, Malaysia-Lubnan terus perkukuh kerjasama pertahanan
MOHAMED KHALED ketika mengadakan pertemuan dua hala bersama Michel Menassa, di Kementerian Pertahanan Negara Lubnan.

“Lubnan merupakan antara rakan terawal Malaysia di Asia Barat. Hubungan ini akan terus diperkukuh, termasuk selepas berakhirnya penugasan MALBATT (Batalion Malaysia) di bawah UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan),” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, cadangan MoU Kerjasama Pertahanan dan peluang latihan melalui MDCP turut menerima sambutan baik pihak Lubnan.

“Saya yakin kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan dalam bidang yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia dan Lubnan,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar Udzir di Kedutaan Besar Malaysia di Beirut bagi memastikan hubungan kedua-dua negara termasuk dalam bidang pertahanan terus diperkukuh selepas penugasan MALBATT berakhir.

“Meskipun penugasan MALBATT di sini akan berakhir tidak lama lagi, hubungan pertahanan perlu terus diperkukuh, termasuk melalui peranan Kedutaan demi manfaat kedua-dua negara,” katanya.

Image from: MALBATT-13 terakhir, Malaysia-Lubnan terus perkukuh kerjasama pertahanan
MOHAMED KHALED ketika beramah mesra bersama anggota MALBATT-13 yang kini bertugas di Lubnan.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau UNP 2-1, Kem Marakah di selatan Lubnan yang menempatkan MALBATT 850-13 serta melihat sendiri kehidupan anggota dan kemudahan yang menyokong penugasan mereka.

MALBATT 850-13 merupakan kontinjen terakhir Malaysia di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), sekali gus menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan ATM dalam misi pengaman di negara itu sejak 2007.

“Sejak 2007, kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bumi Lubnan di bawah misi UNIFIL mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepada usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 292 aset ATM melalui MALBATT bernilai kira-kira AS$10 juta akan diserahkan kepada Lebanese Armed Forces (LAF) secara berperingkat sehingga Januari 2027 sebagai sebahagian proses pengunduran.

Aset berkenaan termasuk kenderaan dan pelbagai kelengkapan, manakala sebahagian lagi akan dibawa pulang ke Malaysia atau dilupuskan di Lubnan.

“Penyerahan ini mengambil kira manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan,” katanya.

Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan sumbangan peralatan perubatan dan alat pemadam api daripada MALBATT kepada Civil Defense Lubnan yang diwakili General Director of Civil Defense, Brigadier General Imad Khreich.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia dalam menyokong kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan di Lubnan,” katanya.

Hubungan diplomatik Malaysia-Lubnan terjalin sejak 1960-an dan berkembang dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, dengan lawatan rasmi itu menjadi antara usaha memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara menjelang pengakhiran penugasan MALBATT.-KOSMO! ONLINE

The post MALBATT-13 terakhir, Malaysia-Lubnan terus perkukuh kerjasama pertahanan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved