Dagangan saham Tong Herr digantung sementara menunngu pengumuman rasmi

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dagangan saham Tong Herr digantung sementara menunngu pengumuman rasmi Image from: Dagangan saham Tong Herr digantung sementara menunngu pengumuman rasmi liza06/08/2026 - 15:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Dagangan saham Tong Herr Resources Berhad digantung sementara di Bursa Malaysia hari ini bagi memberi laluan kepada syarikat itu membuat satu pengumuman penting.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tong Herr berkata, penggantungan dagangan semua saham syarikat berkuat kuasa pada pukul 12.16 tengah hari sehingga pukul 5 petang ini selepas permohonannya diluluskan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan butiran mengenai pengumuman yang bakal dibuat.

 

Sebelum dagangan digantung, saham Tong Herr meningkat 10 sen atau 5.56% kepada RM1.90 dengan sebanyak 236,000 saham diniagakan.

 

Harga itu merupakan paras tertinggi yang dicatatkan oleh kaunter berkenaan sejak Mei 2022. Pada harga RM1.90 sesaham, Tong Herr mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM299.12 juta.

 

Setakat tahun ini, saham syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu telah meningkat hampir 37% atau 51 sen, sekali gus mencerminkan prestasi positif dalam kalangan pelabur.

 

Tong Herr merupakan syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia di bawah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian.

 

Beribu pejabat di Zon Perindustrian Bebas Perai, Pulau Pinang, kumpulan itu terlibat dalam pembuatan dan penjualan pengikat keluli tahan karat seperti nat, bolt, skru dan pelbagai komponen penyambung yang lain.

 

Produk keluaran Tong Herr digunakan dalam pelbagai industri termasuk tenaga solar, petrokimia, pemasangan mesin, telekomunikasi dan pembinaan.

 

Dagangan saham digantung lazimnya dibuat bagi membolehkan syarikat mengumumkan maklumat penting yang berpotensi mempengaruhi harga saham serta memastikan semua pelabur menerima maklumat tersebut secara serentak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved