Peningkatan 116% hasil suku kedua Lotte Chemical Titan kepada RM3.1 bilion belum mampu pulihkan prestasi kewangan

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan 116% hasil suku kedua Lotte Chemical Titan kepada RM3.1 bilion belum mampu pulihkan prestasi kewangan Image from: Peningkatan 116% hasil suku kedua Lotte Chemical Titan kepada RM3.1 bilion belum mampu pulihkan prestasi kewangan liza06/08/2026 - 17:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Lotte Chemical Titan Holding Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 116% kepada RM3.108 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM1.436 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu didorong sumbangan daripada Projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) yang mula beroperasi secara komersial pada Oktober 2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata peningkatan hasil itu turut disokong oleh kenaikan harga jualan purata produk, namun sebahagiannya diimbangi oleh kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit Malaysia.

 

Dari segi operasi, kumpulan merekodkan kadar penggunaan loji sebanyak 50% berbanding 46% pada suku kedua 2025, didorong pertambahan pengeluaran daripada projek LINE di Indonesia.

 

Bagaimanapun, peningkatan jualan itu belum mampu diterjemahkan kepada keuntungan apabila LOTTE Chemical Titan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM396 juta, berbanding RM191 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM401.7 juta bagi suku kedua berbanding RM189.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut syarikat, peningkatan kerugian itu berpunca daripada pelarasan nilai inventori kepada nilai boleh direalisasikan bersih (net realisable value), selain pertambahan perbelanjaan susut nilai (depreciation) dan kos faedah yang berkaitan dengan projek LINE.

 

Prestasi Suku Ke Suku Masih Tertekan

Berbanding suku pertama 2026, hasil Lotte Chemical Titan meningkat 23% daripada RM2.529 bilion kepada RM3.108 bilion, terutamanya disebabkan harga jualan purata yang lebih tinggi.

 

Namun begitu, jumlah jualan produk menurun dalam tempoh tersebut, manakala kadar penggunaan loji susut daripada 61% pada suku pertama kepada 50% pada suku kedua.

 

Kerugian sebelum cukai turut meningkat daripada RM230 juta pada suku pertama kepada RM396 juta pada suku kedua, sebahagian besarnya disebabkan pelarasan nilai inventori.

 

Walaupun begitu, prestasi kewangan kumpulan sedikit dibantu oleh sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu, Lotte Chemical USA Corporation.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical Titan, Jang Seon Pyo berkata, perniagaan syarikat terus berdepan cabaran akibat ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan kepada persekitaran operasi.

 

Terus Fokus Kukuhkan Kedudukan Di Asia Tenggara

Beliau berkata, keadaan tersebut telah mengganggu rantaian bekalan global, menjejaskan sentimen pasaran serta menyebabkan turun naik harga minyak mentah, nafta dan harga jualan purata produk petrokimia.

 

Menurutnya, pasaran serantau juga masih berdepan ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan apabila pertambahan kapasiti pengeluaran berkembang lebih pantas berbanding pertumbuhan permintaan, sekali gus memberi tekanan kepada harga.

 

Sehubungan itu, Lotte Chemical Titan akan terus memantau perkembangan geopolitik dan keadaan pasaran bagi menyesuaikan operasi syarikat dalam usaha mencapai sasaran perniagaan serta memenuhi jangkaan pemegang kepentingan.

 

Beliau berkata, syarikat kekal komited mengukuhkan kedudukannya di pasaran utama termasuk Malaysia, Indonesia dan seluruh Asia Tenggara, di samping mengurus operasi secara berhemah memandangkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau dijangka kekal sederhana.

 

Lotte Chemical Titan merupakan anak syarikat Lotte Chemical Corporation di bawah Kumpulan Lotte dan antara pengeluar bersepadu olefin serta poliolefin terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

Kumpulan itu kini mengendalikan 12 loji di Johor, memiliki pegangan 40% dalam Lotte Chemical USA Corporation di Amerika Syarikat serta mengoperasikan tiga loji polietilena di Indonesia, selain lima loji di bawah projek LINE yang mula beroperasi secara komersial pada 15 Oktober 2025. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved