liza06/08/2026 - 16:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Setiap kali Himpunan RXZ Members berlangsung, perhatian pasti tertumpu kepada isu kemalangan, bunyi bising, kesesakan lalu lintas dan pelbagai kontroversi yang menjadi bualan di media sosial.
Namun, di sebalik semua itu, ada satu sisi yang jarang mendapat perhatian orang ramai iaitu semangat persaudaraan ratusan ribu anak muda, limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan serta usaha mendekatkan peserta dengan masjid yang menjadi antara identiti unik himpunan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata program yang kini memasuki edisi kelapan itu tidak sepatutnya dinilai hanya melalui beberapa insiden negatif, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh.
Menurut beliau, kejayaan menghimpunkan ratusan ribu peminat Yamaha RX-Z dari seluruh negara selama lapan tahun berturut-turut bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, malah membuktikan kemampuan anak muda menganjurkan program berskala mega dengan komitmen yang tinggi.
"Menguruskan program sebesar ini bukan kerja mudah. Ia memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan kerjasama daripada seluruh pasukan penganjur," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN: Keindahan pantai, layanan mesra jadikan Terengganu tuan rumah terbaik RXZ Members
Lebih daripada sekadar himpunan motosikal
Tambahnya, ramai melihat Himpunan RXZ Members sebagai acara motosikal semata-mata, sedangkan program itu turut memberi kesan besar kepada ekonomi setempat apabila hotel, restoran, chalet, inap desa (homestay), gerai makanan, stesen minyak dan pelbagai sektor perniagaan menerima kehadiran pengunjung dari seluruh negara.
“Penganjuran tersebut bukan dikendalikan Kerajaan Negeri Terengganu, sebaliknya dianjurkan oleh golongan muda yang hanya menggunakan kemudahan milik kerajaan negeri bagi menjayakan acara itu.
“Sokongan kerajaan negeri lebih kepada membantu usaha anak muda, bukannya mengambil kesempatan untuk meraih populariti politik,” katanya.
Kisah yang tidak selalu menjadi tajuk utama
Dalam hantaran sama, beliau menyifatkan penglibatan masjid berhampiran lokasi himpunan sebagai antara perkara paling bermakna sepanjang penganjuran program tersebut.
Menurut beliau, selain memudahkan urusan peserta, masjid turut menjadi ruang dakwah yang mendekatkan golongan muda dengan solat dan aktiviti keagamaan.
ARTIKEL BERKAITAN: RXZ Members 8.0 fokus sifar kemalangan maut, peserta digesa elak aksi berbahaya
Beliau turut berkongsi kisah seorang peserta yang dikatakan kembali menunaikan solat selepas sekian lama meninggalkannya apabila singgah di sebuah masjid ketika menghadiri himpunan berkenaan.
"Bukan semua peserta datang dengan latar belakang yang sama. Mereka perlu didekati dengan kasih sayang, bukan terus dihukum," katanya.
Perbaiki kelemahan tanpa memadamkan kebaikan
Mengulas pelbagai kritikan terhadap Himpunan RXZ Members, Hishamuddin mengakui isu keselamatan, tidak menutup aurat, sampah dan disiplin peserta perlu terus diperbaiki.
Beliau mencadangkan budaya konvoi yang lebih selamat diperkasakan, selain penguatkuasaan undang-undang jalan raya diteruskan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, beliau berharap masyarakat tidak hanya melihat kelemahan yang berlaku sepanjang program, sebaliknya turut menghargai nilai perpaduan, persahabatan dan semangat kebersamaan yang berjaya diwujudkan dalam kalangan ratusan ribu peserta.
"Yang kurang kita perbaiki, yang lemah kita atasi. Marilah duduk semeja untuk sama-sama memperbaiki," katanya. - DagangNews.com






