JKDM tingkatkan keupayaan anggota tangani isu tular menerusi latihan komunikasi digital

LocalDigital
6 Aug 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JKDM tingkatkan keupayaan anggota tangani isu tular menerusi latihan komunikasi digital Image from: JKDM tingkatkan keupayaan anggota tangani isu tular menerusi latihan komunikasi digital liza06/08/2026 - 18:01 Simulasi tersebut diyakini mampu meningkatkan kemahiran anggota dalam mengurus isu yang timbul di media sosial secara lebih berkesan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh keupayaan anggotanya dalam menangani isu dan krisis di media sosial menerusi pendedahan kepada simulasi kawalan naratif digital sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan komunikasi strategik jabatan.

 

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Kursus Pengurusan Media Strategik dan Digital yang berlangsung selama empat hari bermula 3 hingga 6 Ogos di Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak, melibatkan lebih 30 anggota pelbagai pangkat dari ibu pejabat dan cawangan JKDM di seluruh negara.

 

Penolong Kanan Pengarah Kastam (PKPK II), AKMAL Cawangan Sarawak, Deswita Santari Abdul Khalik berkata, pendedahan kepada simulasi tersebut diyakini mampu meningkatkan kemahiran anggota dalam mengurus isu yang timbul di media sosial secara lebih berkesan.

 

Menurut beliau, walaupun JKDM sudah mempunyai kemahiran asas dalam pengurusan komunikasi, kursus berkenaan bertujuan memperkukuhkan lagi keupayaan jabatan untuk bertindak secara lebih proaktif sebelum sesuatu isu berkembang menjadi krisis yang lebih besar.

 

t

 

t

 

Perkukuh keupayaan komunikasi digital

"Kita sudah memiliki kemahiran sedia ada, tetapi kursus kali ini bertujuan memantapkan lagi keupayaan JKDM untuk bertindak lebih proaktif sebelum sesuatu isu bertukar menjadi krisis besar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, peserta turut didedahkan dengan realiti operasi bilik berita bagi membantu mereka memahami bagaimana sesuatu isu dilaporkan media serta peranan yang perlu dimainkan oleh agensi penguat kuasa dalam menyalurkan maklumat yang pantas, tepat dan berkesan kepada masyarakat.

 

Selain itu, peserta diberi latihan menggunakan beberapa alat forensik digital dan pemantauan sentimen asas seperti InVID WeVerify, Google Reverse Image Search, X Advanced Search, Google Trends dan Boardreader bagi membantu mengesahkan kesahihan kandungan yang tular di platform digital.

 

t

 

Latihan praktikal tangani krisis media sosial

Deswita berkata, kursus berkenaan turut memberi penekanan kepada latihan secara praktikal dalam menghasilkan pelbagai bahan komunikasi digital yang diperlukan ketika berdepan sesuatu isu atau krisis.

 

Antara kemahiran yang dipelajari termasuk penulisan kenyataan balas yang pantas, penyediaan kenyataan media, penulisan kandungan media sosial, reka bentuk infografik serta pengendalian sidang media secara berkesan.

 

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan memastikan anggota JKDM bukan sahaja mampu memantau perkembangan isu, malah berupaya menyampaikan maklumat yang tepat dan konsisten kepada orang ramai dalam tempoh yang singkat.

 

Bengkel selama empat hari itu dikendalikan oleh pakar rujuk daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bertindak sebagai penceramah dan pengajar, sekali gus menyokong usaha JKDM memperkukuh keupayaan komunikasi strategik serta pengurusan krisis dalam era digital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved