DagangHalal teroka pasaran ASEAN bantu perniagaan penuhi pensijilan halal mandatori Indonesia

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DagangHalal teroka pasaran ASEAN bantu perniagaan penuhi pensijilan halal mandatori Indonesia Image from: DagangHalal teroka pasaran ASEAN bantu perniagaan penuhi pensijilan halal mandatori Indonesia amree20/10/2026 - 12:20 (Dari kiri) Pengerusi Persatuan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia (GAPMMI), Ir Adhi Siswaya Lukman; Pemangku Ketua Pengarah Industri Agro, Kementerian Perindustrian Indonesia, Ir Putu Juli Ardika; Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia, Faisol Riza; dan Pengarah Portfolio Serantau – ASEAN, Informa Markets, Rungphech (Rose) Chitanuwat, pada majlis perasmian Fi Asia Indonesia 2026 di Jakarta. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Pelaksanaan fasa baharu pensijilan halal mandatori Indonesia mulai 18 Oktober 2026 membuka ruang kepada DagangHalal.com membantu pengeluar, pembekal bahan ramuan dan pengeksport menerusi pendigitalan pematuhan halal serta jaringan perdagangan serantau.

 

Pengendali platform e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) halal itu meneroka peluang luas tersebut menerusi edisi ke-30 Food Ingredients (Fi) Asia Indonesia 2026 sebagai Rakan Strategik Halal dari 16 hingga 18 September 2026 di Jakarta International Expo (JIExpo), Kemayoran.

 

Menurutnya dalam kenyataan, penyertaan itu memberi tumpuan kepada usaha peningkatan keterlihatan produk halal, hubungan antara pembeli dan pembekal serta penggunaan sistem digital bagi menolong perniagaan tempatan dapat mengurus dokumentasi dan keperluan pematuhan halal.

 

"Antara inisiatif utama ialah World Halal Supermarket by DagangHalal, platform pameran berkonsepkan rak pasar raya yang membolehkan pengunjung, pengeluar dan pembeli meneliti produk halal serta jenama yang mengambil bahagian secara lebih dekat," jelas operator platform itu.

 

Ia turut memperkenalkan Halal Internal Assurance System (HIAS), platform berasaskan awan direka bagi dokumentasi halal dan keselamatan makanan, memantau tempoh sah sijil, mengurus audit serta tindakan pembetulan, selain kebolehkesanan bahan ramuan dan proses pengeluaran.

 

Dalam pada itu, pameran berkenaan turut menampilkan ASEAN Halal Showcase yang menghimpunkan produk dari Vietnam, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia bagi membuka peluang kepada pemain industri meneroka sumber bekalan serta pasaran halal di rantau ini.

 

DagangHalal_DagangNews2026

 

Ujar DagangJalal, program Halal Clinic yang dikendalikan pasukan tempatan turut menyediakan banyak maklumat dan panduan awal kepada syarikat-syarikat asing mengenai proses ketat bagi pensijilan halal Indonesia di bawah Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH).

 

"Keperluan pematuhan itu semakin penting berikutan fasa pensijilan halal mandatori Indonesia yang bermula 18 Oktober 2026, meliputi kategori tertentu termasuk produk import, bahan ramuan makanan, bahan tambahan dan bahan bantuan pemprosesan," tambahnya.

 

Keadaan itu meningkatkan keperluan pengeluar serta pengeksport memastikan dokumentasi pembekal, rekod bahan ramuan dan kebolehkesanan produk diselenggara dengan baik. Ini termasuk berkaitan inovasi, teknologi serta pembangunan industri makanan dan minuman.

 

DagangHalal namun menjelaskan HIAS hanya berfungsi menyokong pengurusan pematuhan dalaman dan kesiapsiagaan audit, bukannya mengeluarkan sijil halal atau menggantikan peranan rasmi BPJPH, badan pemeriksa halal diiktiraf atau institusi pensijilan lain yang diberi kuasa.

 

Fi Asia Indonesia 2026 yang dianjurkan Pamerindo Indonesia dan Informa Markets itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia, Faisol Riza. Pameran berkenaan menggunakan 11 dewan, menghimpunkan lebih 700 pempamer dan menampilkan lebih 10 pavilion negara.

 

"Menurut Kementerian Perindustrian Indonesia, industri makanan dan minuman negara itu berkembang 6.77% pada separuh pertama 2026, sekali gus menyumbang 41.86% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan bukan minyak dan gas (O&G)," katanya. 

 

Pihak DagangHalal akan meneruskan perbincangan dengan pengeluar, pembekal dan pembeli yang dikenal pasti sepanjang pameran, di samping meneroka peluang memperluas akses pasaran halal, kesiapsiagaan pematuhan dan perdagangan digital di Indonesia serta rantau ASEAN. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved