Kepercayaan industri halal mesti jadi peluang perniagaan – Johari

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 9:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kepercayaan industri halal mesti jadi peluang perniagaan – Johari

PETALING JAYA – Kepercayaan dunia terhadap ekosistem halal Malaysia perlu diterjemahkan kepada peluang perniagaan nyata bagi membantu lebih banyak syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu termasuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan wanita mendapat manfaat daripada perkembangan industri halal global.

Menurutnya, kekuatan industri halal negara bukan sahaja bergantung kepada pensijilan, malah terletak pada integriti, kualiti dan keyakinan terhadap keseluruhan rantaian bekalan.

“Kepercayaan terhadap ekosistem halal Malaysia mesti diterjemahkan kepada peluang perniagaan yang nyata.

“Melalui kerjasama Matrade-Jakim dan inisiatif Women in Export (Wiex), kita mahu lebih banyak syarikat Malaysia termasuk PMKS dan usahawan wanita membina kerjasama antarabangsa, meningkatkan eksport serta membawa produk dan perkhidmatan halal negara lebih jauh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Johari berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak Perdana Menteri.

Menurut Johari, penganjuran GHaS dan MIHAS mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab halal global yang dipercayai.

Katanya, potensi industri halal juga tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman, sebaliknya merangkumi farmaseutikal, kosmetik, logistik serta pelancongan.

“Bagi saya, kekuatan industri halal terletak pada integriti, kualiti dan keyakinan terhadap keseluruhan rantaian bekalannya.

“Potensinya juga melangkaui makanan dan minuman, merangkumi farmaseutikal, kosmetik, logistik serta pelancongan,” katanya.

Johari berkata, penyertaan kira-kira 1,700 pempamer dan 450 pembeli dari 58 negara pada MIHAS kali ini membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk meneroka peluang pasaran antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

The post Kepercayaan industri halal mesti jadi peluang perniagaan – Johari appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved