
PETALING JAYA – Seorang peniaga meluahkan rasa terkilan apabila berdepan pelanggan yang didakwa mempertikaikan harga makanan berjumlah RM84 selepas selesai makan di kedainya.
Lebih mengecewakan, pelanggan terbabit didakwa bukan sahaja memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada membuat bayaran, malah turut cuba memulangkan sisa makanan termasuk tulang-tulang.
Menerusi perkongsian di Threads, peniaga menggunakan akaun @harries_iries itu berkata, pelanggan berkenaan menikmati pelbagai hidangan termasuk memesan makanan bungkus untuk dibawa pulang.
“Awak makan anak beranak kene RM84 tapi banyak alasan untuk mengelak dari kene bayar. Awal mkn macam-macam siap bungkus lagi, puas saya jelaskan dengan harga dan semua harga dah tertera dalam menu.
“Masih tak puas hati katanya kedai lain kenape harge lain dulu okey je,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Peniaga itu turut mendakwa pelanggan berkenaan sanggup membawa kembali sisa makanan yang telah dimakan kerana tidak berpuas hati dengan harga dikenakan.
“Sampai sisa makan pun kau nak pulang balik. Saya beritahu, kak ini sisa kak. Ingat kami ini kucing ke?,” katanya.
Menurutnya, pelanggan itu akhirnya beredar dari kedai berkenaan tanpa membuat bayaran seperti didakwa.
“Saya tak reda dengan apa yang dia buat,” luahnya.
Perkongsian itu mengundang perhatian pengguna media sosial yang lain dan lebih 40 komen ditinggalkan.
“Untuk peniaga kita memang akan hadapi pelanggan macam ni, mkn dah bersih sebiji nasi tak ada dia cakap nasi itu ada rambut tak nak bayar. Macam-macam lagi belum yang campak duit,“ kongsi Shaerra Suhaimi.
“Sanggup tak bayar eh, bagi anak-anak makan tau,” komen Amiraaarshad.
Seorang lagi peniaga, Awza turut berkongsi ragam pelanggan di kedainya termasuk mereka yang berpura-pura bayar menggunakan kod imbas QR.
“Berapa orang punya makan tu? RM84 kalau empat atau lima orang tu standard harga dah, dengan zaman ekonomi sekarang. Saya pun peniaga juga kadang ada lah juga jumpa pelanggan macam ini. Ada yang buat-buat dah QR pun ada, tapi tak tekan paynow (bayar sekarang) pun. Ingat kita tak pandai ke tengok benda (aplikasi) itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dah kenyang siap bungkus, tiba-tiba pertikai harga makanan appeared first on Kosmo Online.






