‘Dah Panggil Polis Masih Boleh Gelak’ – Rakyat Korea Berang, Dakwa Pelancong Malaysia Ambil Gambar Dalam Spa Sauna

10 Nov 2026 • 12:25 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

‘Dah Panggil Polis Masih Boleh Gelak’ – Rakyat Korea Berang, Dakwa Pelancong Malaysia Ambil Gambar Dalam Spa Sauna

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, sekumpulan pelancong wanita dari Malaysia mendapat kritikan ramai selepas didakwa mengambil gambar pengunjung di sebuah jjimjilbang (spa sauna tradisional Korea) di Haeundae, Busan, Korea Selatan.

Perkara itu didedahkan sendiri seorang pengunjung rakyat Korea dikenali sebagai Hanyoritta di akaun Threads miliknya. Jelasnya, sama seperti jjimjilbang yang lain, sauna itu juga dipenuhi dengan ramai pelancong asing.

Namun, dia terkejut selepas mendakwa kumpulan wanita itu secara tiba-tiba mengambil gambar di kawasan kolam air panas, sedangkan ketika itu terdapat pengunjung lain yang sedang mandi tanpa seurat benang.

Panik Pelancong Ambil Gambar Pengunjung Sauna, Wanita Hubungi Polis

Berang dan panik dengan situasi tersebut, Hanyoritta kemudiannya telah bertindak menghubungi polis.

“Sekumpulan perempuan yang memakai hijab dengan lilitan yang sangat ketat serta cermin mata hitam masuk ke dalam kawasan kolam mandi. Mereka mula ambil gambar dalam kawasan tersebut (kolam mandi)! Saya betul-betul terkejut dan terfikir, ‘Apa sebenarnya yang sedang berlaku’

“Saya dalam keadaan tergesa-gesa terus membilas badan, tutup tubuh ala kadar, lap air dengan cepat dan sarung pakaian tanpa sempat memakainya dengan betul. Dalam keadaan sangat marah, saya terus pergi ke kaunter untuk membuat aduan. Selepas itu, saya keluar dan menghubungi polis.”

View on Threads

Polis Dapati Tiada Gambar Bogel Pengunjung Dalam Telefon, Hanya Foto Sekitar Sauna

Dedah Hanyoritta lagi, hasil pemeriksaan polis mendapati memang terdapat gambar-gambar di sekitar spa sauna namun tiada gambar yang jelas menunjukkan individu lain yang tidak berpakaian.

“Nasib baik, tiada gambar yang tunjukkan tubuh orang lain dalam keadaan berbogel. Tetapi perasaan tidak selesa dan takut yang saya rasa tak hilang.

“Lebih menyakitkan hati, dua orang pegawai polis datang ke lokasi. Mereka beritahu bahawa tiada gambar yang menunjukkan individu lain secara jelas, tetapi memang terdapat gambar yang diambil di dalam kawasan kolam mandi. Mereka juga kata bahawa semua telefon sudah diperiksa.

“Kemudian, polis meminta mereka duduk seperti dalam gambar dan dengan nada yang agak lembut berkata, ‘Kamu semua mesti sangat terkejut, kan? Tak boleh ambil gambar dalam kawasan kolam mandi, ya’.”

Wanita Berang Kumpulan Pelancong Gelak Ketawa, Tak Ambil Serius Perkara Berlaku

Apa yang membuatkannya lebih bengang apabila dia mendakwa kumpulan wanita berkenaan masih boleh bergelak ketawa seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perkara yang berlaku.

“Mereka berempat pula duduk rapat-rapat seperti itu sambil ketawa, seolah-olah langsung tidak memahami betapa seriusnya perkara yang telah mereka buat.

“Saya terlalu marah sehingga tarik nafas dalam sebelum jerit, ‘Kamu semua boleh ketawa lagi?!’

“Mereka (pelancong) terus terdiam dan tak mengeluarkan suara, tetapi masih boleh nampak gigi mereka tersengih. Pekerja spa dekat situ pun terkejut,” dakwanya.

Tambahnya lagi, dia percaya pelancong asing tersebut merupakan rakyat Malaysia selepas pegawai polis tersebut ada menyebut perkataan ‘Malaysia’ semasa memeriksa pasport mereka.

Wanita Maafkan Pelancong, Perjelas Tiada Niat Untuk Bersikap Rasis

Hanyoritta dalam satu lagi hantaran menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat bersikap rasis namun hanya meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan pengunjung yang dirakam ketika dalam keadaan mereka bogel.

Bagaimanapun jelasnya, dia memilih untuk memaafkan pelancong berkenaan atas apa yang sudah berlaku.

View on Threads

‘Pihak Berkuasa Korea Boleh Hantar Pelancong Pulang Ke Tanah Air, Namun Pilih Untuk Tak Rosakkan Percutian Mereka’ – Pengunjung Sauna

“Rakyat Korea tak benci pelancong negara lain macam tu sahaja. Malah, pihak polis dan saya sendiri telah bertolak ansur kerana mereka memakai tudung dan merupakan pelancong. Kami tak mahu rosakkan percutian mereka.

“Kami (pihak berkuasa Korea) sebenarnya ada pilihan untuk tamatkan perjalanan mereka dan hantar mereka pulang ke negara asal. Kami boleh buat begitu, tetapi kami pilih untuk tidak mengambil tindakan tersebut,” katanya.

Tambahnya, dia masih berasa tidak tenang dan takut sekiranya gambarnya tanpa baju masih tersimpan dalam cloud telefon pelancong terbabit.

“Namun, saya masih rasa takut dengan kemungkinan bahawa gambar saya tidak berpakaian telah diambil dan masih tersimpan di suatu tempat dalam cloud telefon. Perasaan takut tu masih belum hilang.”

Ambil Gambar Di Tempat Awam Tanpa Izin Adalah Satu Kesalahan Di Korea Selatan, Terutama Jika Fokus Pada Tubuh Badan Atau Kawasan Sensitif

Untuk info, mengambil gambar individu di tempat awam tanpa kebenaran melanggar hak Right to Face di Korea Selatan dan boleh menyebabkan individu terbabit dikenakan tindakan sivil atau pertuduhan jenayah, terutamanya jika gambar tersebut memfokuskan bahagian tubuh tertentu atau kawasan sensitif.

Di bawah Artikel 14 Akta Kes Khas Berkaitan Hukuman bagi Jenayah Seksual (Act on Special Cases Concerning the Punishment, etc. of Sexual Crimes), perbuatan merakam gambar atau video individu lain tanpa persetujuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga 50 juta won Korea (kira-kira RM150,000).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved