IPOH - Pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk yang tular di media sosial susulan didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajar Tingkatan Tiga membuat laporan polis pada Ahad lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 56 tahun itu membuat laporan atas ketidakpuasan hati berhubung video tular yang memaparkan dia diserang oleh keluarga pelajar berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.
"Kita mendapati keluarga mangsa menyerang pengetua itu kerana didakwa membuat panggilan kepada pelajar berkenaan bagi meluahkan rasa cinta dan sayang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan sembilan individu termasuk pengetua berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, susulan laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, dakwaan berkenaan tular di media sosial menerusi satu hantaran di platform Threads yang mendakwa pengetua terbabit menghantar mesej tidak senonoh kepada seorang pelajar perempuan, termasuk menggunakan ungkapan "I love you”.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Pengetua terbabit juga dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk bagi membolehkan siasatan dijalankan. - Bernama






