Sebelum ini tular video memaparkan ibu kepada seorang pelajar perempuan menyerang pengetua di sebuah sekolah menengah di Bagan Datuk, Perak selepas didakwa memberikan mesej berunsur seksual.
Pengetua tersebut didakwa memberikan mesej ‘I Love You’ kepada pelajar perempuan tingkatan tiga. Dalam video tersebut, turut kelihatan ibu pelajar serta keluarga menyerang pengetua lelaki itu.
Pengetua buat laporan polis
Terbaharu, pengetua sekolah berkenaan telah tampil membuat laporan polis pada 25 Oktober.
Jelas Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin pengetua berusia 56 tahun berkenaan membuat laporan atas ketidakpuasan hati mengenai video tular yang menunjukkan dia diserang oleh keluarga pelajar tersebut.
Kes disiasat mengikut 2 seksyen, keluarga pelajar didakwa serang pengetua kerana buat panggilan luah rasa cinta & sayang
Ujar Mohd Alwi kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.
“Kita mendapati keluarga mangsa menyerang pengetua itu kerana didakwa membuat panggilan kepada pelajar berkenaan bagi meluahkan rasa cinta dan sayang,” ujarnya, lapor Sinar Harian memetik Bernama.
Menurut Mohd Alwi lagi, ekoran laporan yang dibuat oleh pengetua tersebut, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Fadhlina arah JPN Perak buat siasatan
Ekoran daripada itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak membuat siasatan mengenai dakwaan terbabit.
Katanya, pengetua dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk bagi membolehkan siasatan dilakukan.







