
IPOH: Polis Perak menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di Malaysia, China dan Jepun menerusi tiga serbuan berasingan di Kampar dan Ipoh dalam tempoh lima hari bermula 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejayaan itu membawa kepada penahanan 36 individu termasuk 25 warga China dan lima warga Jepun berusia 19 hingga 41 tahun.
Katanya, kesemua mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan pusat panggilan penipuan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM62,500.
“Dalam serbuan pertama di dua unit pangsapuri di Bandar Agacia, Kampar pada 22 Oktober lalu, lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia 19 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pinjaman wang tidak wujud.
“Pemeriksaan di dua premis itu menemukan 13 telefon bimbit dan enam kad ATM pelbagai bank yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan dengan nilai rampasan dianggarkan RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket yang dipercayai beroperasi sejak Jun lalu itu menawarkan pinjaman wang menerusi aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum meminta mangsa menyerahkan kad ATM berserta kata laluan sebagai cagaran.
Katanya, mangsa diminta membungkus kad ATM bersama kata laluan sebelum mengeposnya ke alamat diberikan.
“Kad berkenaan kemudian digunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian sehingga akaun bank mangsa disekat selepas dikenal pasti terlibat dalam siasatan polis.
“Semakan awal turut mendapati akaun bank yang digunakan sindiket itu dikaitkan dengan lima kes penipuan pinjaman wang tidak wujud di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, dalam serbuan kedua di sebuah kilang teres satu setengah tingkat di kawasan perindustrian ringan Bercham pada 23 Oktober lalu, seramai 25 warga China terdiri daripada 24 lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki mengendalikan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Katanya, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak akhir September lalu itu menggunakan TikTok untuk mempromosikan pelaburan sebelum menghubungkan pelanggan ke Telegram bagi urusan lanjut.
“Mangsa kemudian diminta mengakses pautan ke platform khas yang dikendalikan sindiket dan mengikuti arahan diberikan dengan tawaran pelaburan antara 99 hingga 199 yuan,” katanya.
Tambah beliau, serbuan ketiga yang dijalankan di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Simee pada 26 Oktober lalu pula membawa kepada penahanan lima lelaki warga Jepun yang disyaki menjalankan penipuan telefon dengan menyamar sebagai kakitangan hospital di negara itu.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu memperdaya mangsa dengan mendakwa ahli keluarga mereka terbabit dalam kemalangan dan memerlukan pembedahan segera sebelum meminta bayaran bagi memulakan rawatan.
“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan aplikasi Signal untuk berhubung dengan mangsa manakala bayaran dimasukkan ke akaun bank di Jepun.
“Sindiket itu dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak akhir September lalu dengan kesemua suspek berperanan sebagai ejen pusat panggilan,” katanya. – UTUSAN
The post Polis Perak tumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian appeared first on Utusan Malaysia.






