Dakwaan penerima bakul makanan didaftar sebagai ahli, PKR Pahang dapatkan penjelasan

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 12:20 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

PKR Pahang menjelaskan isu dakwaan penerima bakul makanan di Cenderawasih didaftarkan sebagai ahli parti.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang memandang serius dakwaan bahawa penerima bakul makanan di Cenderawasih telah didaftarkan sebagai anggota parti tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Setiausaha PKR Negeri Pahang, Zukri Aksah, berkata setiap permohonan keanggotaan parti mestilah dibuat secara sukarela serta berdasarkan pengetahuan dan persetujuan jelas daripada pemohon.

Menurutnya, PKR Pahang mengambil maklum kenyataan ADUN Semambu serta laporan media berhubung perkara berkenaan dan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak yang menganjurkan program tersebut.

Beliau berkata, PKR Pahang sememangnya melaksanakan pelbagai program kebajikan, ziarah dan penghargaan kepada masyarakat serta anggota baharu di seluruh negeri, termasuk menerusi pemberian bakul makanan.

Bagaimanapun, katanya, bakul makanan yang dikelolakan parti dibiayai menggunakan sumber parti dan sumbangan pelbagai pihak, bukannya peruntukan rasmi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

“Agihan bakul makanan juga tidak terhad kepada golongan miskin atau memerlukan sahaja, sebaliknya menjadi sebahagian daripada program kemasyarakatan dan penghargaan kepada anggota baharu yang menyertai parti secara sukarela,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga:
Tiada arahan dikeluarkan

Dalam masa sama, Zukri menegaskan pemberian bakul makanan tidak boleh dijadikan syarat, balasan atau dorongan kepada seseorang untuk mendaftar sebagai anggota parti.

Katanya, tiada dasar atau arahan parti yang membenarkan sebarang bentuk paksaan dalam urusan keanggotaan.

“Berhubung kejadian di Cenderawasih, PKR Pahang akan mendapatkan penjelasan lengkap daripada pihak penganjur dan meneliti tatacara yang digunakan, termasuk penerangan kepada penerima, pengendalian maklumat peribadi serta proses pendaftaran melalui aplikasi ADIL dan pengesahan eKYC,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kekeliruan atau ketidakpatuhan terhadap tatacara ditetapkan, tindakan pembetulan sewajarnya akan diambil.

Menurutnya, prosedur operasi standard berkaitan agihan bantuan dan pendaftaran anggota di seluruh Pahang turut akan diteliti serta diperkemas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“PKR Pahang menghormati persoalan yang dibangkitkan dan komited memastikan setiap program parti dilaksanakan secara telus, berintegriti dan menghormati pilihan rakyat.

“Keanggotaan parti mestilah lahir daripada keyakinan terhadap perjuangan KEADILAN, bukan melalui paksaan atau salah faham,” katanya.

The post Dakwaan penerima bakul makanan didaftar sebagai ahli, PKR Pahang dapatkan penjelasan appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved