Siasat dakwaan penerima bakul makanan didaftar ahli PKR

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 3:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siasat dakwaan penerima bakul makanan didaftar ahli PKR

PETALING JAYA: Siasatan menyeluruh perlu dijalankan susulan dakwaan penerima bakul makanan daripada PKR Cabang Indera Mahkota didaftarkan sebagai anggota parti itu tanpa pengetahuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu perlu dipandang serius bagi memastikan segala tuduhan dapat diperjelaskan dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya berlaku pelanggaran prinsip atau tatacara ditetapkan.

“Saya memandang serius tularan di media sosial berhubung dakwaan bahawa terdapat penerima bakul makanan daripada PKR Cabang Indera Mahkota yang didaftarkan sebagai anggota PKR tanpa pengetahuan mereka.

“Sebagai wakil rakyat daripada PKR, saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak bersetuju sekiranya bantuan kepada rakyat dijadikan medium untuk mendapatkan keahlian atau sokongan politik,” katanya dalam kenyataan.

Chun Kuang berkata, sepanjang menjalankan amanah sebagai ADUN, prinsipnya jelas bahawa setiap bantuan hendaklah diberikan berdasarkan keperluan dan keadaan penerima tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.

“Penyertaan dalam parti politik seharusnya lahir daripada keyakinan terhadap idealisme, prinsip dan wawasan yang diperjuangkan, bukannya dipancing melalui bantuan kewangan, barangan atau apa-apa bentuk habuan,” katanya.

Chun Kuang menyeru pihak parti menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan nama baik dan integriti parti terus dipelihara.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat mesti kekal sebagai tanggungjawab dan amanah, bukan dijadikan alat politik.

“Bantuan adalah hak mereka yang memerlukan. Keahlian parti pula mestilah lahir daripada keyakinan dan kesedaran, bukan kerana habuan,” katanya. –UTUSAN

The post Siasat dakwaan penerima bakul makanan didaftar ahli PKR appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved