
Pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled dilaporkan kepada polis di Indonesia berhubung pertikaian pelaburan membabitkan kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Memetik laporan Tribunnews.com, laporan berkenaan dibuat oleh sebuah syarikat kepada Polis Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) semalam.
Peguam yang mewakili syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan polis dibuat selepas Aisar didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan pihak anak guamnya.
“Kami hadir hari ini bagi mewakili pelanggan untuk membuat laporan terhadap seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan yang dimeterai antara Aisar dengan syarikat berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan perjanjian tersebut, masih terdapat baki pelaburan yang didakwa belum diselesaikan Aisar berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Michael turut mendakwa Aisar mempunyai beberapa tanggungjawab lain di bawah perjanjian berkenaan, termasuk menghadiri acara tertentu secara bersemuka.
Namun, katanya, kewajipan tersebut didakwa masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Pihak syarikat sebelum ini dikatakan cuba menyelesaikan pertikaian berkenaan secara baik dengan menghubungi Aisar secara langsung serta menghantar beberapa notis tuntutan.
Bagaimanapun, Michael mendakwa usaha tersebut tidak menerima sebarang maklum balas.
Laporan polis berkenaan kini dijangka disiasat pihak berkuasa Indonesia bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam pertikaian pelaburan terbabit.
Setakat ini, Aisar masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan dan dakwaan tersebut.
Baca juga:Aisar merupakan antara pempengaruh Malaysia yang mempunyai pengikut ramai di media sosial, khususnya dalam kalangan peminat di Indonesia.





