Dana asing keluar RM302 juta, Bursa Malaysia dijangka terus bergelut dengan tekanan global - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 9:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dana asing keluar RM302 juta, Bursa Malaysia dijangka terus bergelut dengan tekanan global - Penganalisis Image from: Dana asing keluar RM302 juta, Bursa Malaysia dijangka terus bergelut dengan tekanan global - Penganalisis sarah26/10/2026 - 09:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Bursa Malaysia dijangka terus berdepan tekanan pasaran global minggu ini apabila pelabur asing mencatatkan jualan bersih saham tempatan bernilai RM301.7 juta bagi minggu kelima berturut-turut, meskipun ekonomi domestik yang berdaya tahan dan langkah sokongan pendapatan isi rumah menerusi Belanjawan 2027 membantu mengehadkan risiko penurunan pasaran.

 

BIMB Securities Research menjangkakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,630 mata minggu ini, dengan paras psikologi 1,600 mata menjadi sokongan penting ketika sentimen pelabur terus dipengaruhi ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dianggarkan 5.3% bagi suku ketiga 2026 serta langkah meningkatkan pendapatan isi rumah dalam Belanjawan 2027 dijangka membantu menyokong pasaran, namun potensi kenaikan masih terbatas berikutan aliran keluar modal asing dan kebimbangan terhadap perbelanjaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Wall Street.

 

 

 

 

 

 

 

"Walaupun pelabur institusi dijangka beralih kepada saham bernilai, syarikat infrastruktur dan sektor komoditi yang mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah Brent, potensi kenaikan pasaran secara keseluruhan masih dibatasi aliran keluar dana asing yang berterusan serta sentimen risiko global yang rapuh," menurut BIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Bagi minggu berakhir 23 Oktober 2026, pelabur asing mencatatkan jualan bersih RM301.7 juta berbanding RM270.2 juta pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar tertumpu kepada sektor perladangan sebanyak RM172.6 juta, produk perindustrian (RM148.4 juta) dan utiliti (RM147.4 juta).

 

Antara saham yang menerima tekanan jualan asing terbesar ialah SD Guthrie Bhd dengan aliran keluar RM142.1 juta, Press Metal Aluminium Holdings Bhd (RM110.9 juta) dan Malayan Banking Bhd (RM103.6 juta), manakala institusi tempatan mencatatkan belian bersih RM205 juta dan pelabur runcit tempatan RM97 juta.

 

MBSB Research pula mendedahkan bahawa tekanan jualan asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu kelima berturut-turut, dengan jualan bersih terbesar minggu lalu berlaku pada Selasa sebanyak RM187 juta, diikuti Jumaat (RM118 juta) dan Khamis (RM97.6 juta). Bagaimanapun, pelabur runcit tempatan terus mencatatkan belian bersih bagi minggu kesembilan berturut-turut, dengan jumlah RM96.8 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu, aktiviti dagangan turut menunjukkan penyusutan apabila purata nilai dagangan harian pelabur asing merosot 23.2%, diikuti pelabur runcit tempatan sebanyak 21.5% dan institusi tempatan 15.3%. Perkembangan itu berlaku ketika institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih sebanyak RM205 juta selepas mencatatkan jualan bersih pada minggu sebelumnya.

 

Tekanan jualan asing itu bukan hanya tertumpu kepada Malaysia apabila lapan pasaran saham Asia yang dipantau MBSB Research mencatatkan aliran keluar bersih berjumlah AS$8.75 bilion bagi minggu keempat berturut-turut. Taiwan merekodkan aliran keluar terbesar sebanyak AS$7.59 bilion, diikuti Korea Selatan (AS$1.05 bilion), manakala India dan Thailand menjadi dua pasaran yang berjaya menarik aliran masuk dana asing masing-masing sebanyak AS$426.1 juta dan AS$89.3 juta.

 

Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak mentah Brent melonjak 6.2% kepada AS$116.72 setong sepanjang minggu lalu susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat 1.1% kepada RM4,587 satu tan, sekali gus menyokong prestasi sektor tenaga yang meningkat 1.7%.

 

BIMB Securities berkata, strategi pelaburan kini beralih daripada pendekatan perlindungan modal secara menyeluruh kepada pemilihan saham secara taktikal, khususnya syarikat yang mempunyai asas penilaian menarik serta mendapat manfaat daripada permintaan domestik, pembangunan infrastruktur dan kenaikan harga komoditi.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research melihat petunjuk awal pemulihan pasaran selepas FBM KLCI bangkit daripada paras terendah tahun ini pada 1,592 mata, namun menegaskan bahawa indeks berkenaan masih perlu melepasi paras rintangan 1,637 mata bagi mengesahkan perubahan arah aliran menurun.

 

Firma itu berkata, pelabur kini boleh mula mempertimbangkan saham yang mempunyai asas fundamental kukuh selepas indeks mencatatkan kenaikan 3.42 mata atau 0.21% kepada 1,611.56 mata pada Jumaat lalu, sekali gus merekodkan peningkatan mingguan sebanyak 0.24%.

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, RHB Retail Research mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap kontrak niaga hadapan FBM KLCI (FKLI), dengan menyifatkan kenaikan semasa sebagai pemulihan teknikal dalam aliran menurun selagi indeks berkenaan kekal di bawah paras rintangan 1,640 mata.

 

Rakuten Trade pula menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat lebih kecil antara 1,605 hingga 1,615 mata hari ini berikutan aktiviti dagangan yang dijangka perlahan, sementara pelabur menilai risiko kenaikan harga minyak mentah, ketegangan geopolitik dan perkembangan dasar monetari Amerika Syarikat.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved