sarah22/10/2026 - 12:31 Foto laman web Capital A Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Capital A Bhd bercadang menangguhkan pembayaran balik sekuriti hutang Islam boleh tukar (RCUIDS) bernilai kira-kira RM600.4 juta sehingga Disember 2028 bagi mengekalkan kedudukan tunainya ketika industri penerbangan berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan operasi.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan itu membabitkan 800.57 juta unit RCUIDS tertunggak setakat 12 Oktober 2026, dengan jadual penebusan sedia ada menetapkan pembayaran RM300.2 juta pada 29 Disember 2026, RM150.1 juta pada 2027 dan baki RM150.1 juta pada 2028.
Bagaimanapun, menerusi cadangan pindaan jadual penebusan itu, keseluruhan baki RCUIDS akan ditebus pada 29 Disember 2028, sekali gus memberikan tempoh tambahan dua tahun kepada kumpulan untuk menyelaraskan obligasi pembayaran dengan aliran tunai yang dijangkakan.
"Cadangan pindaan ini bertujuan terutamanya untuk mengekalkan tunai dan mengukuhkan kedudukan kecairan kumpulan ketika sektor penerbangan serta persekitaran perniagaan global berdepan ketidaktentuan dan cabaran operasi yang berterusan," menurut Capital A dalam makluman tersebut.
Syarikat itu menjelaskan bahawa rancangan pembayaran asal dibuat berdasarkan jangkaan kenaikan harga saham Capital A yang boleh menggalakkan sebahagian besar pemegang RCUIDS menukar sekuriti mereka kepada saham sebelum tarikh penebusan, sekali gus mengurangkan keperluan pembayaran tunai.
Namun, konflik di Asia Barat telah mengakibatkan gangguan ketara dalam sektor perkhidmatan penerbangan, termasuk pengurangan kapasiti, penyusunan semula rangkaian penerbangan dan peningkatan ketidaktentuan operasi.
"Ketegangan geopolitik yang meningkat turut menyebabkan kenaikan harga bahan api jet dan memburukkan tekanan kos dalam keseluruhan ekosistem penerbangan," menurut syarikat itu sambil menjelaskan perkembangan tersebut turut menjejaskan operasi perniagaan teras dan prestasi sahamnya.
Capital A turut memberi amaran bahawa sekiranya cadangan penangguhan tidak mendapat kelulusan pemegang RCUIDS, kumpulan perlu melunaskan RM300.2 juta pada Disember ini menggunakan dana dalaman atau kemudahan perbankan yang tersedia.

"Bagaimanapun, penggunaan sumber kewangan ini akan mengurangkan rizab tunai kumpulan dengan ketara, yang seterusnya boleh mengehadkan fleksibiliti kewangan dalam memenuhi keperluan modal kerja serta melaksanakan inisiatif dan peluang strategik," menurutnya.
Capital A memaklumkan bahawa pembayaran keseluruhan RCUIDS pada 2028 dirancang menggunakan gabungan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman dan kemungkinan usaha pengumpulan dana, bergantung pada kedudukan kewangan serta keperluan pembiayaan ketika itu.
Sementara itu, pemegang RCUIDS masih mempunyai pilihan untuk menukar sekuriti mereka kepada saham Capital A sepanjang tempoh penangguhan, selain terus menerima kadar keuntungan tetap sebanyak 8% setahun bagi baki sekuriti yang belum ditebus.
Cadangan tersebut tertakluk kepada kelulusan pemegang RCUIDS yang tidak mempunyai kepentingan dalam mesyuarat pada 13 November 2026, selepas Capital A sebelum ini memperoleh persetujuan untuk menangguhkan sebahagian pembayaran yang asalnya dijadualkan pada Disember 2025 kepada Disember 2026.- DagangNews.com






