Sentral REIT catat untung bersih RM20.07 juta suku kedua

Business & Finance
6 Aug 2026 • 5:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sentral REIT catat untung bersih RM20.07 juta suku kedua

PETALING JAYA: Sentral REIT Management Sdn. Bhd. (SRM), pengurus kepada Sentral REIT mencatatkan untung bersih sebanyak RM20.07 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, susut sedikit berbanding RM20.14 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sentral REIT itu melaporkan pertumbuhan pendapatan sebanyak RM48.56 juta pada suku sama daripada RM47.67 juta pada 2025.

Bagi enam bulan pertama, Sentral REIT merekodkan peningkatan hasil direalisasikan 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM97.4 juta, manakala pendapatan bersih direalisasikan naik 0.4 peratus kepada RM39.9 juta.

Katanya, prestasi yang lebih baik itu disokong oleh sumbangan penuh selama enam bulan daripada pemerolehan Arcoris Mont’ Kiara, di samping kadar sewaan yang lebih tinggi di seluruh portfolio hartanah serta penyewaan baharu yang berjaya diperoleh di Menara Shell.

Sehingga 30 Jun 2026, jumlah aset Sentral REIT berjumlah RM2.6 bilion, dengan nilai aset bersih (NAB) seunit meningkat kepada RM1.1168 berbanding RM1.1144 pada 31 Disember 2025.

Sentral REIT mengisytiharkan jumlah agihan sebanyak RM37.9 juta bagi serparuh pertama 2026, bersamaan agihan seunit (DPU) sebanyak 3.17 sen, meningkat 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Memandangkan Sentral REIT membuat pembayaran agihan secara dua kali setahun, DPU sebanyak 3.17 sen itu dijangka dibayar pada 18 September 2026, manakala tarikh penutupan buku ditetapkan pada 21 Ogos 2026.

Pengerusi SRM, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, prestasi portfolio Sentral REIT kekal berdaya tahan sepanjang tahun seperti yang dicerminkan melalui peningkatan pendapatan hartanah bersih bagi tahun sehingga kini berbanding tempoh sebelumnya.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan kekuatan operasi serta kualiti aset Sentral REIT meskipun pasaran pejabat di Lembah Klang terus berdepan tekanan daripada bekalan baharu.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan dan meletakkan semula portfolio hartanah Sentral REIT agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SRM, Tay Hui Ling berkata, prestasi Sentral REIT bagi separuh pertama 2026 disokong oleh kadar penghunian portfolio yang lebih tinggi, kadar sewaan yang lebih baik serta pengurusan kos yang berdisiplin.

“Gabungan faktor-faktor ini mendorong pertumbuhan pendapatan bersih direalisasikan dan membolehkan Sentral REIT mengisytiharkan agihan pendapatan yang lebih tinggi kepada pemegang unit.

“Melangkah ke hadapan, pihak pengurusan kekal berhati-hati namun optimis dan terus mengutamakan pengurusan aset secara proaktif serta pengurusan modal yang berhemat bagi memastikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit,” ujarnya. – UTUSAN

The post Sentral REIT catat untung bersih RM20.07 juta suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved