hamden06/08/2026 - 11:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - Program Pemodenan Rangkaian bernilai RM185 juta yang dilaksanakan oleh Sacofa Sdn. Bhd. telah mencapai kemajuan sekitar 50%, dengan 365 daripada 732 tapak telah siap dinaik taraf dan sedia untuk beroperasi setakat Julai 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, baki 367 tapak sedang melalui proses pemodenan di bawah program yang bermula pada November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Beliau berkata, kemajuan berterusan projek itu mencerminkan komitmen Sacofa dalam membangunkan rangkaian telekomunikasi yang lebih berdaya tahan dan bersedia menyokong agenda transformasi digital Sarawak.
“Perkembangan ini menunjukkan komitmen Sacofa untuk menyediakan rangkaian bersedia masa hadapan yang akan terus menyokong transformasi digital Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Sacofa di Kuching pada Rabu.
Majlis makan malam tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Julaihi, program berkenaan menjadi langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi negeri menerusi penggunaan teknologi Optical Transport Network (OTN), kecerdasan rangkaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta keupayaan penghalaan generasi baharu.
Apabila siap sepenuhnya, kapasiti keseluruhan rangkaian Sacofa dijangka meningkat lebih 4.5 kali ganda daripada 1.6 terabit sesaat (Tbps) kepada 7.2 Tbps, sekali gus membolehkan negeri itu memenuhi keperluan digital yang semakin kompleks.
Selain peningkatan kapasiti keseluruhan rangkaian, kapasiti setiap tapak turut akan dipertingkatkan sebanyak 10 kali ganda, daripada 10 gigabit sesaat (Gbps) kepada 100 Gbps.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berkata, Sarawak sedang memperkukuh persediaannya untuk menjadi pemain dalam industri aeroangkasa dan teknologi komunikasi generasi baharu dengan meneliti pengurusan spektrum, membangunkan sistem penyimpanan data strategik milik negeri serta merangka pelan untuk melancarkan satelit sendiri pada masa hadapan.
Beliau berkata, landskap telekomunikasi global sedang berubah apabila kesalinghubungan pada masa depan dijangka lebih bergantung kepada isyarat tanpa wayar yang dihantar melalui angkasa berbanding rangkaian gentian optik dan infrastruktur konvensional.
Perubahan itu ujarnya, menuntut Sarawak membuat persediaan awal bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi digital dan teknologi angkasa.
“Pada masa depan, telekomunikasi akan lebih bergantung kepada isyarat berbanding saluran (pipeline).
“Justeru, kita perlu melihat bagaimana kedudukan Sarawak dalam pengurusan spektrum yang akan menjadi aset penting kepada teknologi komunikasi masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com






