
PUTRAJAYA: Semua dana yang dirampas daripada hasil haram menerusi proses perundangan dan keputusan badan kehakiman akan dipulangkan semula kepada rakyat, khususnya bagi memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan prinsip Kerajaan Madani bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti dinikmati dan dikembalikan kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan tindakan pihak tertentu yang merampas kekayaan negara sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
“Inilah semangat perpaduan yang menjadi asas kepada enam ikhtiar yang diumumkan hari ini.
Mudah-mudahan semuanya dapat dilaksanakan kerana ia bertolak daripada satu prinsip yang jelas iaitu pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat.
“Jangan ada tindakan merampas kekayaan, tindakan berlagak kebal daripada hukum undang-undang atas keterlanjuran mana-mana syarikat atau individu yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa sehingga mencecah berbilion ringgit,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus negara, mengekang ketirisan dan memastikan hasil negara digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan akan terus menjadi keutamaan kerana kedua-dua sektor itu memainkan peranan penting dalam membina masa depan negara yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Kerajaan juga mahu memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, wilayah atau latar belakang, sejajar dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan aspek keadilan dan ihsan,” katanya. – UTUSAN
The post Dana hasil haram berbilion ringgit akan dipulangkan kepada rakyat – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






