Dana Impak Khazanah gerakkan RM2.6 bilion pelaburan sokong 130 syarikat tempatan

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 2:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dana Impak Khazanah gerakkan RM2.6 bilion pelaburan sokong 130 syarikat tempatan Image from: Dana Impak Khazanah gerakkan RM2.6 bilion pelaburan sokong 130 syarikat tempatan hamden06/10/2026 - 14:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt - Dana Impak kendalian Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah menggerakkan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion bagi menyokong kira-kira 130 syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia serta membangunkan lebih 4,200 bakat, dengan 64% daripadanya dalam pekerjaan berkemahiran.

 

Pencapaian itu mengukuhkan peranan Dana Impak sebagai pemangkin pertumbuhan syarikat tempatan, bukan sahaja menerusi penyediaan modal, malah dengan menarik masuk modal luaran, rakan strategik serta memperkukuh ekosistem dan bakat dalam sektor-sektor strategik.

 

Laporan Dana Impak yang dilancarkan hari ini menunjukkan setakat 31 Disember 2025, pelaburan RM905 juta yang disalurkan kepada syarikat terbabit berjaya menarik modal luaran sebanyak RM433 juta.

 

Jumlah itu bersamaan 48 sen modal luaran bagi setiap RM1 yang dilaburkan Khazanah, sekali gus mencerminkan keupayaan Dana Impak untuk menggerakkan penyertaan modal tambahan daripada pelabur dan rakan strategik.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, daya tahan ekonomi Malaysia semakin bergantung kepada kekuatan syarikat tempatan, khususnya dalam persekitaran modal yang semakin selektif dan pasaran global yang semakin kompleks.

 

"Sebagai pelabur jangka panjang yang bermatlamat jelas, kami menyedari bahawa daya tahan Malaysia semakin bergantung pada kekuatan syarikat tempatan, terutamanya dalam keadaan modal yang semakin selektif dan pasaran global yang semakin kompleks.

 

"Kemajuan Dana Impak mencerminkan usaha bersama Kerajaan, pelabur, pengurus dana, rakan industri dan institusi dalam memperkukuh syarikat Malaysia sepanjang kitaran pertumbuhan, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta memperluas akses kepada sumber modal yang lebih besar dalam jangka panjang," katanya.

 

MD Khazanah
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

Beliau berkata, Dana Impak akan terus memperkukuh keupayaan dan membangunkan bakat dalam ekosistem strategik, selain menggerakkan modal dan kerjasama menerusi inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan.

 

Langkah itu bertujuan menyokong lebih banyak syarikat dan usahawan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan, bersaing di peringkat global serta meraih lebih banyak manfaat daripada nilai yang dihasilkan.

 

Pendekatan programatik tiga bidang utama

Sejak 2024, Dana Impak memperincikan tumpuannya kepada pendekatan programatik yang merangkumi tiga bidang utama iaitu ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan (MTC), serta semikonduktor dan pembuatan termaju.

 

Dalam ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, Dana Impak menerusi Jelawang Capital memperuntukkan sehingga RM1 bilion bagi memperluas akses kepada pembiayaan peringkat awal serta memperkukuh kumpulan pengurus dana tempatan dan pengurus dana serantau berpengalaman.

 

Jelawang Capital telah menyokong lima pengurus dana Malaysia menerusi Emerging Fund Managers’ Programme (EMP) dan memberikan komitmen pelaburan kepada dua pengurus dana di bawah Regional Fund Managers’ Initiative (RMI).

 

Secara keseluruhan, inisiatif itu memperluas akses kepada modal, bakat dan peluang antarabangsa, selain menggalakkan aliran urus niaga rentas sempadan, rangkaian global serta pengetahuan dan kepakaran institusi ke pasaran domestik.

 

Bagi syarikat peringkat pertengahan pula, pembangunan keupayaan digabungkan dengan ekuiti persendirian, pembiayaan swasta dan pelaburan langsung bagi memperkukuh keupayaan serta memperluas akses kepada modal pertumbuhan.

 

Program pembangunan keupayaan Dana Impak seperti MTC Growth Innovation Programme (MGIP) dan Program ELEVATE terus menyokong syarikat peringkat pertengahan untuk berkembang, berinovasi dan menembusi pasaran baharu.

 

Setakat akhir 2025, Khazanah telah menyokong 48 syarikat peringkat pertengahan Malaysia menerusi program MGIP dan ELEVATE.

 

Dalam sektor semikonduktor dan pembuatan termaju pula, pengurus dana khusus dan pelaburan strategik membantu membangunkan keupayaan teknologi, industri dan bakat bernilai tinggi di Malaysia.

 

Ini termasuk sokongan Khazanah kepada SkyeChip sejak peringkat awal perkembangannya sehingga Khazanah menjadi pelabur asas utama dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut.

 

Cambrian Fund dan SEMARAK

Sementara itu, Cambrian Fund, yang merupakan kerjasama antara Khazanah, pengasas bersama ViTrox dan Southern Capital Group, berjaya mengumpul RM104.5 juta bagi menyokong generasi baharu usahawan Industri 4.0 (IR4.0) Malaysia.

 

Laporan itu turut mengetengahkan perkembangan pendekatan pengukuran impak Khazanah menerusi rangka kerja Socio-Economic Metrics Assessment Ratings at Khazanah (SEMARAK).

 

Dibangunkan pada 2022 dan ditambah baik secara berperingkat, SEMARAK menyediakan pendekatan programatik untuk menilai pelaburan Dana Impak berdasarkan tiga tonggak utama iaitu memangkin ekosistem strategik, mentransformasikan syarikat Malaysia dan membangunkan bakal juara Malaysia masa hadapan.

 

Impak berkenaan dinilai dan dipantau sepanjang kitaran hayat pelaburan, seiring dengan prestasi kewangan.

 

Portfolio terpilih Dana Impak

Laporan itu turut memaparkan kisah terpilih daripada portfolio Dana Impak yang mencerminkan sokongan terhadap syarikat dan ekosistem Malaysia.

 

Antaranya, Kiddocare mengetengahkan usaha meningkatkan profesionalisme dalam ekonomi penjagaan Malaysia, manakala Jalen menunjukkan bagaimana pembangunan keupayaan dapat menyokong perniagaan tempatan yang telah lama bertapak untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.

 

PolicyStreet pula menunjukkan bagaimana teknologi boleh memperluas akses kepada perlindungan kewangan, manakala Qarbotech mengetengahkan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di Malaysia.

 

Asia Pacific University pula memperlihatkan peranan modal dan kerjasama dalam memperkukuh institusi pendidikan tempatan, sementara Vynn Capital menunjukkan bagaimana sokongan kepada pengurus dana tempatan dapat memperkukuh ekosistem modal teroka Malaysia.

 

Melangkah ke hadapan, Khazanah akan terus membangunkan program baharu Dana Impak berdasarkan teras impak utamanya bagi menyokong syarikat, usahawan dan bakat Malaysia yang berpotensi, selain memperkukuh ekosistem strategik untuk membina keupayaan ekonomi negara pada masa hadapan.

Laporan Dana Impak boleh dimuat turun di danaimpak.khazanah.com.my - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved